X
Isnin, 30 Mei 2016 | 6:31pm

Usahawan Pantai Timur tak daftar harta intelek

Hotel Sama-Sama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Ihsan Agoda
Hotel Sama-Sama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Ihsan Agoda

PEKAN: Hanya 159 daripada 5,748 permohonan cap dagangan yang diterima Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) daripada usahawan dari negeri di Pantai Timur, sehingga April lalu.

Pengerusi MyIPO, Datuk Abdul Manan Ismail, jumlah yang kurang daripada 10 peratus itu menunjukkan masih ramai usahawan dari Pahang, Terengganu dan Kelantan tidak menyedari kepentingan mendaftarkan produk ciptaan sendiri dengan perbadanan itu bagi melindungi harta intelek mereka daripada ditiru atau diciplak pihak lain.

"Jumlah usahawan dari Pantai Timur yang mendaftar untuk melindungi produk mereka sangat rendah...jadinya mudah untuk ciptaan produk mereka ditiru dan diciplak orang ramai dan yang dukacitanya mereka tidak menyedari hak harta intelek mereka telah dieksploitasi pihak ketiga," katanya pada media selepas menutup program IP Summer Camp 2016 di Sekolah Sains Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Abdul Manan berkata, MyIPO sentiasa berusaha membantu usahawan terbabit melindungi harta intelek mereka menerusi pelaksanaan pelbagai program bagi meningkatkan kefahaman mereka mengenai kepentingan mendaftarkan produk ciptaan sendiri dengan agensi berkenaan.

Selain itu, katanya, kerajaan memperuntukkan RM2.5 juta sepanjang tahun ini bagi Dana Pemfailan Permohonan untuk tempoh lima tahun yang disediakan khusus kepada belia dan pelajar serta komuniti setempat.

"Setakat ini, sebanyak 160 permohonan diterima untuk dibuat saringan membabitkan 21 permohonan paten, 63 permohonan cap dagangan, 10 permohonan reka bentuk perindustrian dan 19 permohonan hak cipta," katanya.

Abdul Manan juga berkata, MyIPO turut menurunkan pegawai pemeriksa paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan hak cipta sempena penganjuran IP Summer Camp kali ini, bagi membantu sekolah yang layak mendaftarkan produk reka cipta dengan agensi berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X