Isnin, 30 Mei 2016 | 8:43pm

Digi tubuh unit digital Digi-X


PRAVEEN Rajan.

KUALA LUMPUR: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) menubuhkan unit baharu, Digi-X, yang bertanggungjawab membina perniagaan dan daya saing secara digital, bagi mengukuhkan kedudukannya di dalam arena digital yang pesat berkembang.

Unit baharu itu akan diterajui oleh pemimpin digital syarikat, Praveen Rajan, dalam kapasiti sebagai Ketua Pegawai Digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty, berkata syarikat mempunyai cita-cita untuk mentransformasi Digi menjadi sebuah syarikat digital dan rakan kongsi pilihan pelanggan dalam gaya hidup digital menjelang 2020.

Katanya, ia memerlukan syarikat untuk meneroka bidang baharu melangkaui bidang telekomunikasi tradisional, di samping mengukuhkan inovasi dalam perniagaan terasnya.

"Digi-X akan melaksanakan projek serta perniagaan yang bebas daripada Digi, daripada perkhidmatan sokongan hinggalah bidang digital baharu yang satu hari nanti akan menjadi sebahagian perniagaan teras kami.

"Ini satu langkah besar dalam penyertaan digital Digi dan anda akan menyaksikan kami melakukan anjakan tinggi dalam bidang ini beberapa bulan akan datang," katanya.

Murty berkata, beliau yakin dengan Praveen sebagai Ketua Pegawai Digital Digi, berikutan pengalaman, kepakaran teknikal serta pemahaman kukuh daripada pengalaman beliau membentuk syarikat permulaan memberikannya kelebihan dalam pelbagai perkara.

Ia, katanya, membolehkan Praveen membina dan merealisasikan keperluan perniagaan Digi secara pantas.

"Dalam arena digital yang bergerak dan berkembang pantas, Praveen sudah pasti membantu kami memimpin industri," katanya.

Praveen mempunyai pengalaman selama sembilan tahun di Digi, dengan memegang pelbagai jawatan utama, khususnya pemasaran merangkumi segmen Pascabayar, Peralatan, Perkhidmatan Nilai Tambah dan Usaha Sama.

Selain itu, Praveen berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dari The Nottingham Trent University, adalah juga Ketua Pegawai Teknologi LifeLogger, syarikat permulaan yang diasaskan bersama olehnya pada 2003.

INFO:

* Jumlah pelanggan mudah alih, Internet dan digital Digi: 12.3 juta orang

Berita Harian X