Selasa, 31 Mei 2016 | 9:09am
PENGERUSI SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Calon PRK boleh tidak hadir pada hari penamaan - SPR

PENGERUSI SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan bakal calon Pilihan Raya Kecil (PRK) boleh tidak hadir pada hari penamaan calon.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, berkata di bawah Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dengan jelas menyatakan bahawa kertas penamaan calon mestilah diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya :

(a) di tempat penamaan; dan

(b) antara jam 9 pagi dan 10 pagi pada hari penamaan.

Justeru, katanya, penyerahan borang berkenaan boleh dikemukakan oleh calon dan pencadang dan penyokongnya atau oleh mana-mana dua atau mana-mana seorang daripada mereka.

"Berdasarkan peraturan itu amat jelas bahawa tiada halangan dari segi undang-undang sekiranya borang penamaan calon tidak dikemukakan sendiri oleh calon berkenaan tetapi boleh juga dikemukakan oleh salah seorang, sama ada pencadang atau penyokong beliau.

"Peraturan ini adalah peruntukan sedia ada dan bukannya dasar ditentukan oleh SPR. Sama ada sah atau tidak borang penamaan itu bagi menentukan kelayakan bakal calon masih tertakluk kepada syarat-syarat yang sedia ada bagi kelayakan seseorang calon seperti mana dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan bertulis yang berkaitan Pilihan Raya yang berkuat kuasa buat masa ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Kenyataan itu bagi menjelaskan kekeliruan dalam kalangan banyak pihak mengenai status bakal calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P067 Kuala Kangsar, Perak, Datin Mastura Yazid sama ada beliau perlu hadir atau sebaliknya untuk menyerahkan borang pencalonan pada Hari Penamaan Calon yang ditetapkan pada 5 Jun ini, kerana kini dalam edah selepas kematian suaminya, Datuk Wan Khair-il Wan Ahmad, bulan lalu.

Mohd Hashim menjelaskan adalah tidak tepat bagi sesetengah pihak yang mendakwa bahawa pencalonan akan menjadi tidak sah hanya kerana calon berkenaan tidak hadir dan menyerahkan borang itu secara sendiri pada hari penamaan.

Adalah ditegaskan di sini, katanya, bahawa borang penamaan bagi calon yang akan bertanding boleh diserahkan oleh pihak yang dinyatakan dalam Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya ) 1981.

"Adalah diharapkan penjelasan ini akan dapat menyelesaikan kekeliruan yang timbul bagi persoalan ini," katanya.

Berita Harian X