Selasa, 31 Mei 2016 | 10:24am
SEBANYAK 32 kereta mayat membawa 32 keranda secara konvoi ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, semalam. - Foto Rasul Azli Samad

Majlis penyerahan 32 rangka warga Australia selesai

SHAH ALAM: Majlis penyerahan 32 rangka warga Australia yang dikebumikan di Perkuburan Perang Commonwealth (CWG), Kem Terendak, Melaka, awal tahun 1960-an, selesai kira-kira jam 9.40 pagi tadi di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, dekat sini.

Majlis disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum mewakili Kerajaan Malaysia kepada wakil Kerajaan Australia, Mejar Jeneral (Bersara) M A Kelly AO DSC.

Upacara penuh istiadat itu berakhir dengan penyerahan bendera Australia oleh wakil tiga Divisyen Tentera Darat, Mejar Muhammad Nurzairi Omar kepada Rejimen Diraja Australia, Mejar Honnen.

Semua keranda itu akan diterbangkan ke Australia menggunakan pesawat C-17 Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dan dijangka tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia Richmond, Sydney, Khamis ini.

Dalam majlis berkenaan, seramai 224 anggota Rejiman Askar Melayu Diraja (RAMD) dan 61 anggota Angkatan Pertahanan Australia turut terbabit.

Usaha membawa pulang 32 rangka itu dilakukan menerusi Operasi Reunite membabitkan kerjasama Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia dan kerajaan Australia.

Rangka terbabit adalah milik 24 tentera Australia dan lapan ahli keluarga mereka yang mati ketika konfrontasi, darurat dan peperangan antara 1964 hingga 1968 selain penjawat awam yang bekerja di negara ini.

Berita Harian X