Selasa, 31 Mei 2016 | 12:46pm
PENYANYI, Hafiz Suip dan isteri, Effy.

Hafiz tegah isteri ceburi arena seni


PENYANYI HAFIZ Suip (kiri) dan isteri, Nureffy Jesreel Abdullah atau Effy, 24, pada majlis resepsi Hafiz Suip yang diadakan di Hotel Dorsett Grand Subang. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip berpendapat pujian yang diberikan orang ramai terhadap kejelitaan isterinya, Nureffy Jesreel Abdullah, 24, atau lebih mesra dipanggil Effy, hanya sebagai bonus.

Hafiz, 26, berkata bukan kecantikan yang menjadi faktor utama memilih wanita itu sebagai teman hidup sebaliknya sikap menghormati kedua ibu bapa membuatkannya tertarik.

"Alhamdulillah, ramai memuji kecantikan isteri dan saya menganggap ia sebagai bonus. Mengikut syariat Islam, rupa paras, agama dan keturunan harus dititik beratkan. Namun ia bukanlah faktor utama yang membuatkan saya mendekatinya.

"Saya tertarik kepada Effy kerana dia begitu menghormati ibu bapa dan orang lebih tua. Bagi saya itu sudah menunjukkan warna dirinya apatah lagi institusi kekeluargaan amat penting buat saya.

"Keluarga adalah tonggak hidup saya sekali gus membuatkan saya terbuka berkongsi hidup dengan Effy," katanya.

Penyanyi kelahiran negeri Bumi Kenyalang itu menjelaskan, biarpun diajukan tawaran membintangi sebuah drama dia tidak menggalakkan isterinya menceburi arena seni.

Katanya, perkara terbabit sudah dibincangkan bersama dan bersyukur apabila Effy maklum bahawa kerjaya itu bukan mudah selain dia sendiri kurang selesa apabila suami isteri berkecimpung dalam satu industri.

"Saya tidak menghalang Effy untuk bekerja bagi mencari pengalaman namun bukanlah dalam bidang seni. Kurang sesuai rasanya suami isteri bekerja dalam industri sama selain mengelakkan sebarang konflik tidak diingini timbul.

"Effy pernah menerima tawaran sebelum ini untuk watak sampingan, namun saya kurang memberi galakkan kerana rasanya lebih baik dia memilih kerjaya yang bersesuaian dengan ijazah dimiliki iaitu Indeks Pelaburan," kata Hafiz.

Pasangan itu diijabkabulkan pada 14 Mei lalu di kediaman keluarga Effy di Kuching, Sarawak.

Pasangan pengantin baharu itu sekali lagi diraikan pada majlis resepsi terakhir di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor sebelum berangkat ke Gold Coast, Australia untuk berbulan madu.

Menyentuh perkembangan kerjaya nyanyiannya, Hafiz bakal tampil dengan single terbaharu, Andai yang dicipta khas untuk isterinya. Lagu itu turut diperdengarkan kepada tetamu yang menghadiri majlis resepsinya, Ahad lalu.

Berita Harian X