Selasa, 31 Mei 2016 | 8:57pm

KFC sasar buka 30 cawangan baharu


PENGURUS Besar QSR Brands (M) Holding Sdn BHd, Sharifah Musainah (kiri) dan Pengurus Besar Kanan KFC Marketing, Angelina Villanueva memperkenalkan menu baru Kentucky Fried Chicken (KFC), KFC Kari-Kari Rangup sempena Ramadan di Restoran KFC Pavilon . - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

KUALA LUMPUR: KFC Malaysia (KFC) optimis mampu mencapai sasaran membuka 30 cawangan baharu di seluruh negara menjelang akhir tahun ini bersandarkan permintaan tinggi pengguna, terutama di kawasan pedalaman.

Pengurus Besar QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd, Sharifah Musainah, berkata setakat ini 10 cawangan baharu sudah beroperasi, antaranya cawangan Benut, Johor dan Damansara Damai, Selangor.

"Kami menyasarkan beberapa lokasi utama terutama di luar bandar yang menjadi tumpuan orang ramai, selain berdasarkan permintaan tinggi serta pembangunan pesat di kawasan terbabit.

"Setakat ini, kita mendapat permintaan menggalakkan daripada pengguna di luar bandar. Kita yakin jika buka hampir dengan mereka (pelanggan luar bandar), mereka juga akan selalu mengunjungi kita... sekali gus memacu pertumbuhan jualan produk KFC," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran KFC Kari-kari Rangup Istimewa sempena Ramadan di sini, hari ini.

Sehingga kini, KFC mempunyai 750 cawangan di seluruh Malaysia, Singapura, Brunei serta Kemboja, dengan 641 cawangan di negara ini.

Mengulas mengenai pelancaran 'KFC Kari-kari Rangup', Pengurus Besar Kanan Pemasaran KFC, Angelina Villanueva berkata, pengenalan menu baharu itu sempena kedatangan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.

"Ia memberi peluang kepada kami untuk menghidangkan sesuatu yang baharu dan berkongsi pengalaman yang indah setiap kali pelanggan berbuka puasa bersama keluarga.

"Di KFC, kami sentiasa mencari cara untuk mempertingkatkan keenakan ayam dan kami percaya hidangan yang penuh dengan rasa kerangupan, rempah dan berperisa amat sesuai untuk pelanggan ketika menyambut Ramadan," katanya.

KFC Kari-kari Rangup menampilkan ayam goreng KFC yang disaluti rempah ratus tempatan dan perisa kari lazat. Ia yang digabungkan dengan hidangan sampingan KFC bermula RM12.90 untuk hidangan kombo manakala kombo bucket bermula serendah RM46.90.

INFO

* Boleh didapati di semua restoran KFC seluruh negara bermula semalam

* Kombo RM12.90 - pilihan nasi atau kentang goreng bersama dua ketul ayam, coleslaw dan minuman pic mangga Sjora

Berita Harian X