Rabu, 1 Jun 2016 | 12:16am
AFIFAH mampu menyiapkan sehingga 15 pasang kasut sehari bergantung kepada jenis lukisan.
AFIFAH fokus melukis di atas permukaan kasut kanvas.

Rezeki penconteng kasut


PUTRAJAYA: Bukan kerja mudah menzahirkan ilham dan imaginasi di atas permukaan sepasang kasut kanvas kerana ruangnya terhad dan memerlukan ketelitian yang amat tinggi selain tidak boleh tersilap langkah bila melakukannya.

Bagaimanapun, cabaran itu tidak menjadi penghalang buat gadis cacat pendengaran dan bisu, Afifah Abd Rais, 26, yang memanfaatkan bakat melukis kasut kanvas sebagai kerjaya tetapnya.

Bermula kira-kira lima tahun lalu dengan hanya suka-suka dan mahu mengisi masa lapang dengan ilmu baharu, kasut lukisan tangan akhirnya menjadi sumber pendapatan tetap buat beliau apabila dia diambil bekerja di Amaze Creative Sdn Bhd, yang menjalankan perniagaan berasaskan produk lukisan tangan.

Katanya, ketika mula bekerja, beliau hanya boleh menyiapkan kira-kira lima pasang kasut sehari, tetapi kini mampu menyiapkan sehingga 15 pasang kasut sehari bergantung kepada jenis lukisan.

Beliau dilatih melukis oleh tenaga pengajar di syarikat itu dan mengambil masa kira-kira sebulan untuk mahir teknik asas kemudian belajar sendiri untuk memantapkan kemahiran.


AFIFAH memanfaatkan bakat melukis kasut kanvas sebagai kerjaya tetapnya.

Sementara itu, pemilik syarikat Amaze Creative Sdn Bhd, Chang Wan Sang, berkata syarikatnya bekerjasama dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) untuk menggaji pekerja kelainan upaya kategori itu untuk bekerja di syarikatnya sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Saya mempunyai enam pekerja cacat pendengaran dan bisu yang kerjanya khusus untuk melukis kasut bagi pelbagai kategori umur daripada bayi hingga dewasa.

"Kasut yang dijual biasanya dilukis dengan lukisan kartun atau karakter animasi popular yang digemari kanak-kanak atau orang dewasa. 

"Pelanggan juga boleh membuat tempahan untuk sebarang lukisan yang mereka mahu. Selain kasut sedia ada, kami juga menerima tempahan untuk melukis kasut yang disediakan sendiri oleh pelanggan," katanya.

Tambah beliau, pelanggan yang paling ramai menggemari kasut lukisan tangan adalah wanita selain ibu bapa yang membeli untuk anak mereka.


AFIFAH menggunakan cat akrilik untuk melukis di atas permukaan kanvas.


AFIFAH memanfaatkan bakat melukis kasut kanvas sebagai kerjaya tetapnya.

"Ada juga pelanggan dari Asia Barat yang berminat dengan kasut lukisan tangan dan mereka membelinya secara atas talian, selain mendapatkannya terus daripada outlet kami jika berkunjung ke negara ini. 

"Kasut lukisan tangan ini dijual secara secara atas talian serta di beberapa cawangan termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pusat beli-belah Sunway Pyramid dan Midvalley Megamall.

"Selain itu, permintaan tinggi terhadap kasut lukisan tangan ini akan meningkat apabila tibanya musim perayaan di negara ini," katanya.

Wan Sang berkata jenis cat yang digunakan adalah cat akrilik kerana ia tidak mudah luntur dan tahan lama di atas permukaan jenis kanvas. 

"Jika direndam dalam air pun catnya tidak akan luntur. Kami amat mementingkan kualiti kasut dan cat yang digunakan bagi memberi kepuasan kepada pelanggan," katanya. 

 

 

Berita Harian X