Rabu, 1 Jun 2016 | 12:47pm

Hun Sen tiba untuk lawatan empat hari ke Malaysia

PERDANA Menteri Kemboja, Hun Sen diberi sambutan permaidani merah ketika tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Foto BERNAMA

SEPANG: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen diberi sambutan permaidani merah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, sempena lawatan empat hari ke negara ini.

Hun Sen, yang diiringi isterinya Bun Rany, disambut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong dan Duta Malaysia ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek, sebaik pesawat yang membawanya mendarat jam 10.30 pagi.

Pemimpin Kemboja itu kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 29 pegawai dan anggota Rejimen Ke-6 Renjer Diraja.

Hun Sen akan menghadiri Forum Ekonomi Dunia ke-25 mengenai ASEAN di Kuala Lumpur, hari ini dan esok.

Beliau akan menyertai pemimpin lain berucap pada forum yang bertemakan 'Membentuk Agenda ASEAN bagi Rangkuman dan Pertumbuhan'.

Hun Sen dan pemimpin ASEAN yang lain dijangka mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua perdagangan dunia mengenai Revolusi Perindustrian ASEAN ke-4 pada forum berkenaan.

Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja dalam kenyataannya berkata, Hun Sen akan mengadakan lawatan rasmi mulai Jumaat dengan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perbincangan dua hala itu bertujuan meningkat dan mengeratkan persahabatan yang sekian lama terjalin serta kerjasama pelbagai bidang antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin negara juga akan mempengerusikan majlis memeterai dua memorandum persefahaman mengenai kerjasama maklumat dan penyiaran serta Program Sukarelawan Antarabangsa MYCorps di Kemboja, kata kenyataan itu.

- BERNAMA

Berita Harian X