Rabu, 1 Jun 2016 | 5:08pm

ATM, Tentera Laut AS dan Filipina sertai latihan CARAT

MOHAMMAD Adib (kanan) menerima cenderamata daripada Williams selepas merasmikan acara pembukaan Eksesais Kerjasama Kesiagaan dan Latihan (CARAT) 2016 di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Latihan ketenteraan Eksesais Kerjasama Kesiagaan dan Latihan (CARAT) buat julung kalinya disertai Tentera Laut Filipina dalam usaha menangani jenayah rentas sempadan dan aktiviti haram khususnya di perairan timur Sabah.

CARAT edisi ke-22 antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) itu dilaksanakan secara multilateral dengan Tentera Laut Filipina menerusi aspek komunikasi untuk perkongsian maklumat.

Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Laksamana Muda Datuk Mohammad Adib Abdul Samad, berkata ia juga kali pertama kerjasama pelbagai hala dalam latihan diadakan di perairan negeri itu.

"Kerjasama secara multilateral dengan Tentera Laut Filipina ini secara keseluruhannya bertujuan menangani jenayah rentas sempadan dan aktiviti haram.

"Tentera Laut Filipina akan berada di perairan mereka dan cuma terbabit dalam aspek komunikasi," katanya selepas merasmikan pembukaan CARAT di KD Sri Sandakan, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Komander Pasukan Petugas 73 (CTF 73) USN, Laksamana Muda Charles Williams.

Eksesais selama enam hari bermula 30 Mei lalu itu disertai 528 anggota ATM dan USN dengan menumpukan latihan operasi laut, perlindungan, pertempuran taktikal selain Program Bantuan Kejuruteraan Komuniti (ENCAP).

Antara aset digunakan ialah KD Jebat, kapal Bunga Mas 5, pesawat HAWK Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan P3C Orion, manakala latihan pendaratan amfibi dilaksanakan di Tanduo, Lahad Datu membabitkan Batalion Ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD 3) dan Kor Marin Amerika Syarikat (USMC).

Sementara itu, Williams berkata, pembabitan berterusan pihaknya dengan rakan sekutu dalam CARAT membina kepercayaan dan mewujudkan hubungan lebih kukuh antara negara.

"Ini diterjemahkan menerusi kesediaan kami untuk bekerjasama dengan tentera laut di rantau ini dalam usaha meningkatkan keselamatan di perairan," katanya.

Berita Harian X