Khamis, 2 Jun 2016 | 12:00am

Dunia resah punca nahas udara berulang

KEHILANGAN pesawat EgyptAir pada awal pagi 19 Mei lalu, mencatat satu lagi peristiwa duka dalam sejarah penerbangan antarabangsa.

Sehingga kini, cuma serpihan pesawat malang membawa 66 penumpang dan anak kapal dari Paris ke Kaherah itu yang ditemui selain bagasi dan cebisan tubuh mangsa.

Bangkai keseluruhan kapal terbang dan kotak hitam masih menjadi keutamaan dalam usaha pencarian.

Teka-teki mengenai punca nahas semakin memuncak, ada mengatakan ia disebabkan kesilapan teknikal tetapi teori ia akibat perbuatan pengganas di mana berlaku letupan bom semakin menampakkan logik terutama dengan asap yang dikesan dalam pesawat dan penemuan 80 bahagian tubuh manusia.

Tidak kira jika ia akibat perbuatan pengganas atau kesilapan teknikal, setiap tragedi di udara memberi kesan amat mendalam kepada banyak pihak yang terbabit, terutama kepada keluarga mangsa yang terpaksa menelan hakikat pahit orang tersayang berkubur tanpa nisan.

Jika ditelusuri, tragedi di Lapangan Terbang Los Rodeos di Tenerife, Kepulauan Canary, Sepanyol pada 27 Mac 1977 disifatkan sebagai terburuk dalam sejarah penerbangan dunia.

Pesawat Boeing 747 milik KLM Royal Dutch Airlines baharu berlepas apabila ia tiba-tiba jatuh menghempap kapal terbang Pan American World Airways yang ketika itu masih ada di atas landasan.

Kejadian menyebabkan 583 penumpang dan anak kapal kedua-dua pesawat maut.

Siasatan mendapati tragedi disebabkan juruterbang pesawat KLM berlepas secara tidak sengaja dan menganggap beliau sudah mendapat kebenaran pengawal trafik udara (ATC) serta akibat kekeliruan antara kru dan ATC.

Satu lagi tragedi yang memalit sejarah hitam penerbangan membabitkan pesawat Japan Airlines pada 12 Ogos 1985.

Kapal terbang Boeing 747 membawa 524 penumpang dan kru itu terhempas di kawasan pergunungan di tengah Jepun sejurus berlepas dari ibu negaranya Tokyo. Ajaibnya, empat daripada 509 penumpang selamat dan cuma mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa.

Ia berpunca daripada letupan akibat pelepasan kuasa tekanan disebabkan pembaikan tidak sempurna pada bahagian ekor dibuat tujuh tahun sebelum itu.

Letupan mengakibatkan sebahagian besar ekor pesawat terpecah sekali gus menyebabkan seluruh pesawat kehilangan kawalan hidrolik.

Dunia juga pasti tidak melupakan bagaimana pesawat Air France yang membawa 228 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan dari Rio de Janiero ke Paris tiba-tiba hilang di Lautan Atlantik pada 1 Jun 2009.

Gerakan mencari dilancarkan dan Tentera Laut Brazil menemui dua mayat pertama dan serpihan besar kapal terbang itu lima hari selepas ia hilang.

Siasatan bagi mengenal pasti punca nahas tidak dapat dijalankan dengan sempurna kerana kotak hitam pesawat tidak ditemui sehingga dua tahun kemudian, pada Mei 2011.

Laporan siasatan mendapati pesawat terhempas berikutan keadaan tidak konsisten dalam ukuran kelajuan udara, berkemungkinan tinggi tiub pitot pesawat disekat kristal air, menyebabkan sistem penerbangan automatik tidak berfungsi.

Pesawat Trans World Airlines pula meletup dan berkecai sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York pada 17 Julai 1996.

Semua 230 penumpang dan anak kapal maut dalam bencana itu. Lembaga Keselamatan Pengangkutan kemudian mengenal pasti litar pintas bergerak ke pusat tangki minyak pada sayap kapal terbang itu sebagai punca kejadian.

Nahas udara akibat sifat rakus manusia

Selain kesilapan teknikal, ada beberapa bencana udara berlaku akibat perbuatan dan kerakusan manusia yang bertindak tanpa memikirkan kepentingan orang lain.

Tarikh 1 September 1983 mencatat sejarah pilu kepada 269 keluarga penumpang dan kru pesawat Korean Air yang ditembak jatuh juruterbang pesawat tempur Russia apabila memasuki ruang udara negara itu ketika dalam penerbangan dari Anchorage, Alaska di Amerika Syarikat (AS) ke Seoul, Korea Selatan.

Ia ditembak jatuh pesawat pemintas Russia, Su-15, berhampiran Pulau Moneron di barat Sakhalin di Laut Jepun.

Antara yang terbunuh ialah anggota Dewan Perwakilan AS dari Georgia, Larry McDonald.

Kesatuan Soviet pada awalnya menafikan melakukan tindakan tanpa perikemanusiaan itu namun kemudian mengaku menembak jatuh pesawat komersil terbabit, kerana mendakwa ia pesawat pengintip.

Kejadian itu antara saat paling tegang era Perang Dingin dan menyebabkan peningkatan sentimen anti-Kesatuan Soviet, terutama di AS.

Dunia sekali lagi dikejutkan dengan tragedi pada 21 Disember 1988 apabila letupan bom pengganas memusnahkan pesawat Pan Am dari London ke Bandar Raya New York.

Ia terhempas di padang berhampiran Lockerbie, Scotland, yang mengorbankan 11 orang di darat selain 243 penumpang dan 16 anak kapal.

Dalam kes terkenal di seluruh dunia sebagai pengeboman Lockerbie itu, dua warga Libya akhirnya disabitkan bersalah atas pelbagai tuduhan membabitkan tragedi itu.

Walaupun pada awalnya, pemimpin Libya ketika itu, Muammar Gaddafi, menafikan pembabitan negaranya, namun pada 2003, beliau akhirnya mengaku bertanggungjawab dan malah membayar pampasan kepada keluarga mangsa.

Pengeboman Lockerbie bukan yang pertama membabitkan pengganas kerana dua tahun sebelum itu pada 23 Jun 1985, pesawat Air India dalam penerbangan antara London dan Montreal terhempas di Lautan Atlantik di luar pantai Ireland.

Kumpulan militan Sikh Kanada dikatakan bertanggungjawab mengebom pesawat itu yang mengorbankan kesemua 329 penumpang dan anak kapal.

Punca yang menyebabkan EgyptAir terhempas masih belum diketahui namun jika benar ia angkara pengganas, itu bermakna dunia benar-benar sudah tenat.

INFO

Jumlah kematian nahas kapal terbang

Tahun kematian jumlah insiden

2015 898 121

2014 1,088 122

2013 265 138

2012 794 119

2011 828 117

2010 1,115 130

2009 1,103 122

2008 884 156

2007 971 147

2006 1,294 166

2005 1,459 185

2004 771 172

2003 1,230 199

2002 1,413 185

2001 4,140 200

2000 1,582 189

207 dibaca
Berita Harian X