Khamis, 2 Jun 2016 | 2:18pm

Wanita didakwa pecah amanah RM23,100 hasil jualan tiket

SITI Nurul Asyikin (kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa melakukan pecah amanah dan menyalahgunakan hasil jualan tiket. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
SITI Nurul Asyikin (kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa melakukan pecah amanah dan menyalahgunakan hasil jualan tiket. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

AYER KEROH: Seorang bekas pembantu kewangan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap 19 pertuduhan pecah amanah membabitkan hasil jualan tiket berjumlah RM23,100 dari Januari hingga Disember tahun lalu.

Tertuduh Siti Nurul Asyikin Abdul Nasir, 31, dari Taman Indah Seksyen 3, Padang Jambu, Melaka, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan hasil jualan tiket Muzium Samudera pada 25 Januari 2015 berjumlah RM1,000; 1 Februari 2015 (RM1,000); 7 Februari 2015 (RM2,000); 9 Februari 2015 (RM2,000); 23 Mei 2015 (RM300); 24 Mei 2015 (RM300); 8 Ogos 2015 (RM1,000); 9 Ogos 2015 (RM1,000); 15 Ogos 2015 (RM1,000) dan 16 Ogos 2015 (RM1,000).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama di tempat sama pada 29 Ogos 2015, berjumlah RM1,000; 30 Ogos 2015 (RM1,000); 31 Ogos 2015 (RM1,000); 5 September 2015 (RM1,000); 6 September 2015 (RM1,000); 23 November 2015 (RM1,000); 26 November 2015 (RM1,000); 25 Disember 2015 (RM5,000) dan 29 Disember 2015 (RM500).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun sehingga 20 tahun, sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin, mencadangkan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Haslinda Abu Bakar memohon mahkamah memberikan jaminan lebih rendah dengan alasan tertuduh turut menanggung lima anak tiri bersama suaminya dan baru menjalani pembedahan Januari lalu.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Meor Sulaiman membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X