Khamis, 2 Jun 2016 | 2:25pm

Peminat tak puas tonton gandingan Shukri, Janna Nick


SHUKRI Yahaya dan Janna Nick bakal muncul dalam telefilem istimewa Hari Raya, Suami Tanpa Cinta.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shukri Yahaya, menganggap keserasian dengan Janna Nick yang ditonjolkan menerusi drama Suami Tanpa Cinta membuatkan penonton ingin terus melihat gandingan mereka semula dalam versi telefilem.

Katanya, permintaan penerbit untuk mempertemukan mereka sekali lagi khusus untuk penerbitan bersempena Aidilfitri di bawah naskhah sama adalah rezeki yang tidak mungkin dilepaskan.

"Suami Tanpa Cinta adalah drama bersiri yang menaikkan nama saya sekali gus apabila ditawarkan untuk projek telefilem Hari Raya, ia seakan-akan mengembalikan momen sepanjang menjalani penggambaran bersama 'keluarga' besar.

"Syukur selepas drama bersiri itu, rezeki lakonan saya semakin bertambah. Biarpun terikat dengan komitmen sedia ada, saya akan menyusun jadual untuk ke lokasi penggambaran telefilem berkenaan yang dirancang dimulakan sedikit masa lagi.

"Bergabung tenaga dengan Janna (Nick) buat pertama kali dulu juga sangat menyeronokkan kerana dia jenis yang suka berbincang, bukan sekadar mengikut saja seperti pelakon baharu lain. Sekali gus keserasian membuatkan lakonan kami hidup," katanya.

Terdahulu, drama Dia Isteri Luar Biasa yang mempertaruhkan gandingannya bersama Fathia Latiff turut mendapat sambutan hangat.

Berita Harian X