Khamis, 2 Jun 2016 | 7:46pm

TM anjur Networking Day bersama Legoland

PENGURUS Besar Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab (tiga dari kiri) dan Pengurus Beaar, Legoland Malaysia Resort Malaysia (empat dari kiri) bergambar bersama tetamu kehormat selepas merasmikan permainan tambahan terbaharu taman tema Lego Ninjago di Putrajaya. - Foto Samadi Ahmad

PUTRAJAYA: Program 'Networking Day' Tourism Malaysia (TM) bersama pelbagai sektor industri pelancongan menjadi pentas bagi memaklumkan mengenai pakej percutian atau insentif terkini yang mahu ditawarkan kepada pelancong.

Ketua Pengarah, Tourism Malaysia (TM), Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab, berkata pada masa yang sama, program itu dapat dimanfaatkan untuk mempromosi kempen yang diadakan oleh pemain industri pelancongan untuk orang ramai.

"TM mempunyai banyak kegiatan dan tempat menarik untuk dipromosi, namun memandangkan peruntukan yang sangat terhad, usaha ini hanya boleh dizahirkan dengan kerjasama pihak luar.

"Sebagai contoh, sebelum ini TM pernah menganjurkan 'Networking Day' bersama Belum Rainforest Resort, ACCOR Group dan Tune Hotel.

"Saya harap TM akan terus menjadi peneraju utama kepada sektor pelancongan negara, sekali gus mampu bersaing pada peringkat global," katanya pada majlis 'Networking Day' TM dengan Legoland Malaysia Resort (Legoland), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Legoland, Mark Germy; Pengarah Komunikasi Korporat TM, Azizah Aziz serta Timbalan Ketua Pengarah (Strategik & Domestik) TM, Chong Yoke Har.

Mirza memaklumkan, pada tahun ini pihaknya menyasarkan 30.5 juta pelawat akan berkunjung ke Malaysia dan mengunjurkan keuntungan sebanyak RM103 billion.

Dalam pada itu, Legoland turut mengumumkan pelancaran Lego Ninjago Park, sebuah taman tema terbaharu yang akan di buka dalam masa terdekat di taman tema Legoland yang sedia ada di Nusajaya, Johor Bahru.

Berita Harian X