Sabtu, 4 Jun 2016 | 12:37am
PENGALAMAN lalu, membuatkan Intan Ladyana kini begitu berahsia apabila cuba dibongkar cerita mengenai hati. - Foto Munira Abdul Ghani
INTAN Ladyana selesa untuk tidak berkongsi cerita peribadi, termasuk yang berbaur cinta. - Foto Munira Abdul Ghani

Intan Ladyana enggan bicara pengganti Kamal Adli

ANDAI satu masa lalu dirinya boleh dikatakan bersikap terbuka apabila berbicara mengenai kisah cintanya bersama bekas kekasih, Kamal Adli, namun suasananya sedikit berbeza ketika ini.

Nyata, pengalaman dilalui bersama pelakon lelaki terbabit membuatkan bintang Adnan Sempit, Intan Ladyana, kian matang apabila menyentuh soal peribadi. Malah beliau begitu berahsia sekarang apabila cuba dibongkar cerita mengenai hati.

Menganggap segala kenangan menyulam kasih selama enam tahun bersama aktor itu kini sebagai sejarah, Intan juga enggan mengulas panjang mengenai gosip mengatakan dirinya sudah pun menemui pengganti.


INTAN Ladyana kian matang apabila menyentuh soal peribadi. - Foto Shiraz Ali

Cerita itu timbul baru-baru ini apabila foto pelakon wanita terbabit bercuti bersama-sama teman ke Itali, termasuk seorang lelaki yang dikaitkan dengannya, tersebar di laman maya.

"Saya selesa untuk tidak berkongsi cerita peribadi, termasuk yang berbaur cinta lagi. Memang dulu, saya sangat terbuka berkongsi kisah cinta dengan media dan peminat, tetapi kini tidak lagi.

"Banyak yang saya belajar daripada pengalaman putus cinta sebelum ini. Sama ada saya sudah ada pengganti atau belum, biarlah saya simpan dulu cerita peribadi itu.

"Dalam soal jodoh, saya serahkan pada ketentuan Tuhan. Andai tiba masanya, insya-Allah saya akan kongsi berita baik ini," katanya.


PADA usianya 34 tahun kini, Intan Ladyana mahu fokus pada kerjaya seni dan perniagaan yang bakal diusahakan. - Foto Munira Abdul Ghani

Pada usianya yang sudah pun menjangkau 34 tahun kelmarin, kata Intan, beliau ingin fokus pada kerjaya seni dan perniagaan yang bakal diusahakannya nanti. Malah, selepas lebih sedekad berlakon juga, wanita ini mencuri masa seketika untuk merehatkan diri.

Bukanlah bermakna dirinya semakin 'demand' apabila memutuskan untuk menyepikan diri buat sementara waktu, tetapi kata Intan, beliau lebih suka bersikap memilih dalam menerima tawaran yang datang kepadanya saat ini.

Bagi pelakon yang turut dikenali menerusi filem Bini-Biniku Gangster dan Abang Lejen ini, sudah tiba masanya beliau melakonkan watak berat dan mencabar. Maklum saja, sebelum ini kemampuannya bagai dibayangi oleh naskhah bergenre komedi dan seram.

"Saya lihat ruang untuk berehat ini perlu untuk saya menenangkan diri. Kali terakhir saya muncul menerusi filem Banglo Berkunci, tahun lalu. Insya-Allah, tahun ini saya akan membuat kemunculan semula.

"Memang antara sebab saya menyepi pun kerana ingin lebih selektif terhadap watak diberikan. Saya memang ada menerima beberapa tawaran, tetapi ia dirasakan kurang sesuai. Jadi, saya terpaksa menolaknya dengan baik.

"Saya berharap, kemunculan watak yang akan dilakonkan nanti lebih kepada karakter yang belum pernah saya bawakan dan berbeza daripada sebelumnya," katanya yang mengakui berpuas hati dengan segala pengalaman dikutip selama membabitkan diri dalam industri seni.

Hingga saat ini, selepas enam tahun berada di bawah pengurusan Metrowealth (MIG), Intan selesa untuk kekal bersama syarikat milik David Teo itu. Ketika ramai artis naungannya yang ingin bertukar angin, Intan masih mempercayai apa yang ditawarkan syarikat pengurusan terbabit.

"Fasa berehat sudah habis dan saya serta MIG kini kami mula berbincang untuk projek seni akan datang.

"Soal artis hendak keluar daripada MIG, itu semua pilihan masing-masing. Saya selesa dengan mereka. Jadi, masing-masing tidak sukar untuk bekerjasama. Sebagai artis, saya tak perlu fikirkan jadual lakonan atau soal bayaran kerana hal itu diuruskan pihak pengurusan. Ia menyenangkan kerja dan hidup saya," katanya.

Ditanya lanjut mengenai dunia perniagaan, Intan mengakui beliau merancang untuk turut sama menceburkan diri dalam bidang berkenaan yang ketika ini menjadi pilihan ramai anak seni lain.

"Namun, semuanya masih dalam perancangan dan ia harus dilakukan dengan teliti. Insya-Allah, ia akan dilaksanakan secepat mungkin. Bagaimanapun ia tiada kena mengena dengan 'jual-menjual'. Cuma saat ini, biarlah semua itu menjadi rahsia dulu," katanya.

Berita Harian X