Sabtu, 4 Jun 2016 | 1:56pm

Janna Nick kurangkan aktiviti lakonan sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR: Andai sebelum ini rutin hariannya padat apabila sering berkejar di lokasi penggambaran, Ramadan yang datang memberi ruang kepada Janna Nick untuk memperlahankan aktiviti lakonan kerana ingin bersama keluarga meraikan bulan mulia itu.

Janna atau nama lengkapnya, Nurul Jannah Muner, 21, mengakui teruja menanti ketibaan Ramadan kerana sudah lama tidak berehat panjang apabila sering diasak kesibukan hingga menyebabkan ibunya mengeluh ekoran dirinya jarang mempunyai masa bersama keluarga.

"Ibu pernah mengeluh namun memahami, saya keluar rumah untuk mencari rezeki. Masa kami terbatas kerana jadual kerja yang tidak menentu hingga ibu pernah memberitahu, dia terlalu rindukan saya. Ramadan ini saya ingin memperlahankan sedikit rentak dan menebus semula masa bersama keluarga.

"Bukan hanya saya, barangkali semua orang ingin berkumpul bersama keluarga ketika bersahur dan berbuka. Ramadan hanya datang sekali dalam setahun, jadi saya ingin memanfaatkan fadilat bulan mulia itu sebaik mungkin. Sejak awal lagi, saya menolak tawaran berlakon pada bulan puasa," katanya.

Hanya akan kembali ke lokasi penggambaran seminggu selepas sambutan Aidilfitri nanti, Janna berkata, jadual kerjanya padat menjelang Ramadan kerana perlu melunaskan baki penggambaran telefilem istimewa raya, Suami Tanpa Cinta di samping Shukri Yahaya.

"Penggambaran hanya akan selesai selepas beberapa hari umat Islam berpuasa. Selepas itu, saya akan berehat dan hanya memberi fokus kepada komitmen sebagai duta Syukur Selalu bagi TV3 dan TV9 sepanjang Ramadan. Saya sudah terlalu penat bekerja, jadi ini masa yang tepat untuk berehat dan bersama keluarga," katanya.

Turut muncul dengan dua lagi telefilem iaitu Kau Aku Raya bergandingan bersama Saharul Ridzwan dan Tragedi Duit Raya di sisi Ungku Ismail pada musim Aidilfitri nanti, Janna berkata, kesempatan itu juga memberinya ruang untuk fokus kepada bidang perniagaan.

Dunia perniagaan bukan bidang baharu buat Janna yang pernah membuka restoran di Gombak, Selangor pada tahun lalu namun terpaksa ditutup disebabkan kesibukannya dengan dunia lakonan, selain berdepan beberapa masalah hingga menjejaskan operasi.

"Saya memilih untuk menjual minyak argan di bawah jenama Sephia by Janna Nick. Mungkin sudah ramai yang tahu khasiat minyak ini yang mampu bertindak sebagai ejen antipenuaan, pelembap bibir dan antioksida.

"Istimewanya, minyak argan ini dijual pada harga mampu milik meskipun ia membabitkan kos pengeluaran yang tinggi.

"Kajian dan penyelidikan serta pembangunan dilakukan selama lima bulan untuk memastikan produk yang diberikan terbaik. Ketika ini, saya mahu terlebih dulu memperkenalkan produk ini kepada stokis berminat sebelum melancarkannya untuk pasaran yang lebih besar," katanya.

Berita Harian X