Sabtu, 4 Jun 2016 | 7:05pm
GAMBAR bayi yang didakwa didera di sebuah taska, di Putrajaya. - Foto ihsan pembaca

TASKA dera dua bayi tidak berdaftar dengan JKM

PUTRAJAYA: Siasatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap TASKA di Presint 15 di sini yang didakwa terbabit dalam kes dera dua bayi seperti tersebar di laman sosial mendapati premis itu tidak pernah berdaftar untuk menjalankan perkhidmatan asuhan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata JKM sudah mengeluarkan surat peringatan kepada pengusaha untuk mendaftarkan TASKAnya dalam tempoh tujuh hari selepas siasatan dilakukan pada Rabu lalu.

"Sekiranya pengusaha gagal berbuat demikan dalam tempoh diberikan, taska berkenaan tidak dibenarkan beroperasi.

"Bermula 6 Jun ini, taska berkenaan diarahkan ditutup sementara sehingga pengusaha pusat asuhan berkenaan melakukan pendaftaran kepada JKM," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, gambar dua bayi tersebar menjadi viral di laman sosial Facebook, di mana seorang diikat mulut dengan kain lampin, manakala seorang lagi mempunyai kesan seperti lebam di muka dan bahagian belakang badan, didakwa didera ketika di pusat asuhan berkenaan.

Pada masa sama, Rohani turut sedih dan kecewa dengan kejadian yang menimpa dua bayi berkenaan dan pihaknya memandang serius kes terbabit.

"JKM akan memberikan khidmat kaunseling kepada ibu-ibu kepada dua bayi berkenaan dengan segera.

"Saya berharap agar perkara ini tidak berulang lagi dan semua pihak segera membuat aduan dengan menghubungi Talian Kasih 15999 untuk melaporkan tentang kes penderaan sebegini," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan, ketika dihubungi hari ini mengesahkan pemilik TASKA berusia 27 tahun itu bersama dua pekerjanya, masing-masing berusia 19 dan 21 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini.

"Ketiga-tiga mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyebabkan berlakunya penganiayaan terhadap kedua-dua bayi terbabit," katanya.

Berita Harian X