Ahad, 5 Jun 2016 | 12:20am
MIRA Filzah menerima impak yang positif selepas kejayaan membolot trofi Artis Baharu Wanita Popular pada kemuncak ABPBH 29 pada 8 Mei lalu. - Foto Rohanis Shukri
MIRA Filzah sentiasa mengingatkan dirinya supaya tidak leka dengan nikmat yang dipinjamkan Allah dan semakin berhati-hati dalam menyusun langkah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
MIRA Filzah dilimpahi tawaran termasuk daripada pihak yang berminat melantiknya sebagai duta produk selepas kejayaannya dalam ABPBH 29. - Foto Rohanis Shukri
MIRA Filzah (tengah) bergambar bersama peminat sebelum berangkat ke Tanah Suci. - Foto Instagram

Mira Filzah bawa ibu bapa sambut Ramadan di Makkah

PERNAH dua kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah, kesempatan kembali mengerjakan umrah pada awal bulan ini menjadi lebih bermakna bagi penerima trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke- 29, Mira Filzah.

Ditemani kedua orang tuanya, Mira berkata, pemergian kali ini lebih dinanti apabila berpeluang merasai pengalaman berpuasa di Tanah Suci selain meraikan ulang tahun kelahiran ibunya, Faizatul Akmar Hisan yang ke-50 yang kebetulan disambut pada hari pertama Ramadan.

"Saya memang berniat membawa mereka ke Makkah untuk meraikan hari jadi emak yang ke-50 pada 6 Jun ini. Alhamdulillah, niat saya itu diberkati Allah dan lebih bermakna, tarikh ulang tahun kelahiran emak bersamaan dengan hari pertama umat Islam berpuasa.

MIRA Filzah bersama ibunya Faizatul Akmar Hisan di Tanah Suci Makkah.

"Sejak awal lagi, emak menyusun pelbagai perancangan untuk meraikan Ramadan di Tanah Suci. Dirinya begitu teruja menanti saat untuk berbuka dan bertarawih bersama di Masjidil Haram.

"Emak juga tidak kisah menjamah makanan sekadar mengalas perut ketika berbuka kerana tidak mahu berpusu-pusu kembali ke masjid untuk bertarawih.

"Baginya, apa yang lebih penting adalah melipatgandakan amalan kerana tidak semua umat Islam merasai peluang berharga itu. Secara jujur, saya juga teruja untuk merasai pengalaman itu kerana sebelum ini, saya hanya mendengar cerita daripada orang lain.

"Saya berdoa, semoga setiap urusan kami dipermudahkan. Syukur kerana Allah memberikan saya rezeki untuk dikongsi bersama dua insan yang paling bermakna dalam hidup. Melihat mereka tersenyum sudah cukup membahagiakan saya," katanya yang dijangka kembali ke tanah air pada 16 Jun ini.

MIRA Filzah dan ibunya Faizatul Akmar Hisan.

Ditemui pada majlis sidang media pelancaran kempen Syukur Selalu TV3 dan TV9, baru-baru ini, Mira berkata, kejayaan membolot trofi Artis Baharu Wanita Popular pada kemuncak ABPBH 29 pada 8 Mei lalu memberikan impak positif dalam perjalanan kerjaya seninya.

Menegaskan dirinya masih sama seperti yang dikenali umum sebelum ini, Mira berkata, jadual seninya padat sehingga hujung tahun sebelum menjulang kejayaan pada ABPBH 29.

"Sejak menang, saya dilimpahi tawaran termasuk daripada pihak yang berminat melantik saya sebagai duta produk. Ada di antara tawaran terpaksa dilepaskan dengan baik kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen disebabkan jadual kerja terlalu padat.

MIRA Filzah dinobatkan Artis Baharu Wanita Popular, ABPBH 29. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya bersyukur, permintaan dan kepercayaan ramai terhadap jenama Mira Filzah semakin positif selepas memenangi ABPBH 29. Impak kemenangan itu terhadap perjalanan kerjaya saya terlalu besar. Daripada artis baharu yang tidak terlalu dikenali, kini semakin ramai yang memberikan perhatian.

"Alhamdulillah kerana rezeki saya tidak pernah putus. Saya sentiasa mengingatkan diri supaya tidak leka dengan nikmat yang dipinjamkan Allah ini dan semakin berhati-hati dalam menyusun langkah kerana bimbang, kesilapan dalam mencatur perjalanan akan melukakan hati ramai," katanya.

Sebelum berangkat ke Tanah Suci, Mira sempat menjayakan beberapa episod penggambaran drama rantaian yang diadaptasi daripada novel, Meh Sandarkan Pada Aku terbitan Zeel Production. Drama itu buat pertama kali menggandingkannya bersama Aliff Aziz.

MIRA Filzah bersama ibu dan bapanya di Tanah Suci Makkah. - Foto Instagram

Penggambaran drama itu akan kembali disambung selepas pulang daripada umrah dan dijangka selesai selepas sambutan hari raya.

"Jadual saya padat sepanjang bulan puasa hingga terpaksa menolak undangan menjayakan sesi fotografi dan program raya. Terkilan juga tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana sudah memberikan kata persetujuan sejak awal. Saya berharap tiada pihak yang kecewa apabila saya terpaksa menolak," katanya.

Ramadan ini, wajah Mira menghiasi drama seperti Ketupat Palas Mr Handsome bersama Fattah Amin yang akan disiarkan menerusi slot Lestary di TV3, selain membintangi telefilem, Ustaz Enjin yang disiarkan saluran AlHijrah dan sebuah telefilem lain yang sudah ditukar judulnya.

Kelibatnya juga menghiasi kaca televisyen pada musim Aidilfitri nanti menerusi telefilem raya, Cinta Si Wedding Planner di TV3.

Mengulas pengalaman pertama beraksi di sisi Aliff, Mira yang mencetus fenomena selepas membintangi drama rantaian, Cinta Si Wedding Planner bersama Adi Putra mengakui, selesa bekerjasama dengan pelakon tinggi lampai kelahiran Singapura itu.

GELAGAT Mira Filzah (kiri) bersama Zizan Razak ketika menjadi hos pada malam kemuncak ABPBH 29 di PICC, Putrajaya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Alhamdulillah, kami tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mencari keserasian. Lumrah pada minggu pertama, perasaan janggal itu pasti ada apatah lagi, Aliff sudah agak lama tidak berlakon. Setiap kali penggambaran berhenti rehat, kami akan ambil peluang itu untuk berbual dan bertukar fikiran.

"Dari situ, kami semakin memahami antara satu sama lain. Bagi saya, kerjasama dan komunikasi penting setiap kali bergandingan dengan hero baharu. Jika berat mulut, susah untuk mencari keserasian kerana saya juga masih baharu. Perbincangan penting untuk memastikan kejayaan sesebuah produksi," katanya.

Berita Harian X