Ahad, 5 Jun 2016 | 6:55am

Indeks kreativiti bantu kempen pilihan raya kecil


UMNO dan parti komponen BN perlu menyediakan barisan pelapis tanpa meminggirkan peranan golongan tua.

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu berani menampilkan sekurang-kurangnya satu pertiga calon belia dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi menyediakan barisan pelapis pemimpin demi masa depan negara dan suasana global yang makin kompleks.

Selain dapat membantu kerajaan menangani permasalahan dan kehendak golongan itu menerusi pendekatan serta kehendak mereka, ia selaras dengan nisbah 49 peratus golongan muda berusia 15 hingga 40 tahun daripada jumlah penduduk negara.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata sudah tiba masanya BN melakukan transformasi dengan meletakkan calon muda yang berkualiti dan berpendidikan tinggi, sama ada dalam PRU atau pilihan raya kecil.

Beliau tidak menyebut angkanya, tetapi jika satu pertiga daripada jumlah 222 kerusi Parlimen sekarang, BN seharusnya meletakkan 73 calon belia bertanding dalam PRU akan datang.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya 40 peratus daripadanya adalah wanita yang bermakna 29 daripada 73 calon belia BN adalah wanita.

Mohamed Mustafa berkata, UMNO dan parti komponen BN perlu menyediakan barisan pelapis demi masa depan negara tanpa meminggirkan peranan golongan tua sebagai penasihat dan pembimbing untuk kelangsungan politik parti kerajaan.

Semalam, Naib Presiden, Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha ketika menjadi panel Bicara BH bertajuk 'Belia Cermin Masa Depan Negara: Retak Cermin, Musnah Negara' mencadangkan sekurang-kurangnya 85 Ahli Parlimen daripada kalangan belia, berbanding hanya 21 orang termasuk lima Ahli Parlimen BN yang ada sekarang.

Sejajar aliran semasa

Mohamed Mustafa yang juga Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, cadangannya itu sejajar aliran semasa peringkat global, terutama negara maju yang mengangkat pemimpin muda ke jawatan tinggi.

"Sudah sampai masanya Malaysia mengambil langkah sama seperti negara lain dengan memberi laluan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah kerusi di Dewan Rakyat untuk wakil berusia bawah 40 tahun.

"Jika setiap lima tahun, Parlimen dibarisi komposisi satu pertiga belia, sekurang-kurangnya proses penggantian kepemimpinan berjalan lancar, sekali gus negara tidak ketandusan pemimpin yang baik dan berkaliber pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X