Ahad, 5 Jun 2016 | 12:23pm

SPR tubuh pasukan pantau kempen

KUALA KANGSAR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan dua Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) bagi memantau proses kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Ahli SPR, Datuk Abdul Aziz Khalidin, berkata pasukan itu akan mengambil tindakan yang menyalahi peraturan berkempen mengikut undang-undang SPR.

Katanya, pemantauan dan penguatkuasaan bermula dari sekarang hingga jam 12 tengah malam pada 17 Jun.

"Penubuhan dua pasukan PPKPR ini selaras dengan peruntukan Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman rasmi empat calon yang akan bertanding pada PRK berkenaan di Dewan Jubli Perak di sini sebentar tadi.

Abdul Aziz berkata, tugas pasukan itu termasuk membuat rondaan dan memantau aktiviti kempen calon, ejen dan parti politik.

"Pasukan ini juga akan menurunkan bahan kempen yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya. Mereka juga akan meminta bantuan polis untuk memberhentikan ceramah oleh calon atau parti politik yang tidak mendapat permit daripada Ketua Polis Daerah atau melanggar atau tidak mematuhi mana-mana undang-undang bertulis berhubung pilihan raya.

"Terakhir, mengawal dan menyelaras aktiviti berkempen selaras undang-undang bertulis berkaitan dengan pilihan raya," katanya.

Abdul Aziz berkata, hanya bendera parti atau gambar calon parti yang bertanding sahaja dibenar dikibar atau ditampal ketika tempoh berkempen dan pasukan PPKPR akan menurunkan bahan yang melanggar peraturan itu termasuk poster atau bahan yang boleh menyumbang kepada permusuhan.

Beliau berkata, SPR juga melantik 10 pemerhati tempatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memantau proses pilihan raya termasuk proses pengundian dan pengiraan undi.

Sementara itu, beliau berkata SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK itu 75 peratus, menurun berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu termasuk kekurangan pengundi luar pulang mengundi.

Katanya, pihaknya menjangkakan keputusan PRK berkenaan diketahui seawal jam 9.30 malam.

Berita Harian X