
KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn Bhd yang mempunyai dana RM28 juta, akan melabur dalam tiga hingga 10 syarikat teknologi baharu bermula di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif, Nazrin Hassan, berkata daripada sejumlah RM28 juta berkenaan, RM16.5 juta adalah daripada rakan kongsi pelaburan dan RM11.5 juta daripada Cradle Fund.
Cradle Fund hari ini memeterai perjanjian pelaburan bersama dengan empat syarikat baharu iaitu Fatfish Ventures Sdn Bhd, OSK Ventures International Bhd, CoEnt Venture Partners Pte Ltd dan Crystal Horse Investments Pte Ltd.
Perjanjian pertama dimeterai pada Jun lalu dengan Golden Gate Ventures, yang kini dalam proses mendapatkan beberapa tawaran pelaburan bersama.
Nazrin berkata, perjanjian itu bukan saja akan memanfaatkan syarikat baharu itu untuk mendapat dana gabungan lebih besar, tetapi mereka juga akan mendapat gabungan tambah nilai lebih tinggi.
"Apabila kami mendapat peruntukan RM30 juta tahun depan, bersama dengan jumlah dana yang dikumpul melalui rakan kongsi pelaburan bersama, kami akan berupaya membiayai lebih banyak syarikat teknologi baharu tempatan dan secara berperingkat-peringkat mengurangkan pergantungan kepada pembiayaan kerajaan," katanya pada taklimat selepas pengumuman pelaburan bersama itu di sini, hari ini.
Empat perjanjian pelaburan bersama yang dimeterai hari ini ialah dalam bentuk pelaburan ekuiti yang sudah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan beberapa bulan lepas.
Ia sejajar dengan sasaran syarikat untuk menyalurkan 70 peratus daripada peruntukan dana dalam bentuk pelaburan bersama ekuiti dengan 30 peratus lagi dalam bentuk bantuan secara langsung.
"Ia selari dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan pergantungan kepada bantuan dan bergerak kepada instrumen pasaran dipacu sektor swasta, seperti instrumen ekuiti atau hutang," katanya sambil menambah syarikat berharap mempunyai sekurang-kurangnya 20 hingga 30 rakan kongsi menjelang 2017. - BERNAMA