Isnin, 6 Jun 2016 | 6:11pm
Tanah tinggi Bario.

Miri perkenal kitar sisa makanan jadi baja

MIRI: Pengurusan sisa domestik di kawasan pelancongan di tanah tinggi Bario, masih belum mampu dikendalikan dengan profesional.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lawrence Lai, berkata masalah itu jika tidak ditangani dengan segera dikhuatiri akan menimbulkan masalah pencemaran alam sekitar untuk tempoh jangka panjang.

Justeru, beliau berkata, MBM akan memperuntukkan sejumlah RM500,000 bagi membuat penstrukturan semula sistem pengurusan sampah termasuk kos operasi, membersih dan menutup tapak pelupusan sampah di kawasan terbabit.

"Kita mengambil berat masalah berkenaan, kerana Bario adalah antara kawasan pelancongan terkenal di utara negeri ini.  Jika tidak diselesaikan dengan segera, kita bimbang ia akan menimbulkan masalah pencemaran alam sekitar yang sukar ditangani," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, semalam.

Lai berkata, dana untuk projek itu sudah diluluskan dan MBM sedang mencari lokasi baharu untuk menggantikan tapak pelupusan sedia ada yang sudah tidak lagi sesuai digunakan.

Selain itu, MBM akan memperkenalkan amalan kitar semula sisa makanan untuk dijadikan sebagai baja kompos yang sesuai untuk keperluan aktiviti pertanian di Bario.

"Bario adalah lokasi sesuai untuk diperkenalkan dengan projek ini kerana suhu dan kesesuaian tempat untuk aktiviti pertanian menggunakan baja kompos. Projek itu akan dikendali oleh Jawatankuasa Local Agenda 21 (LA21) MBM yang giat memperkenalkan pengkomposan bokashi.

 

"Pengkomposan 'bokashi 'adalah antara kaedah pengkomposan paling cepat yang sudah diamalkan penduduk Miri sebagai langkah mengurang jumlah sisa buangan dari kawasan kediaman," katanya.

Berita Harian X