Isnin, 6 Jun 2016 | 6:19pm
Facebook Hoki 1Mas.

Laman Web 1Mas platform mudah belajar hoki

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengambil pendekatan kreatif dalam membangunkan hoki peringkat akar umbi dengan menyampaikan pengajaran dan aspek kejurulatihan mengenai sukan berkenaan menerusi dalam talian.

Inisiatif di bawah Program Pembangunan Hoki 1Mas itu ialah dengan mewujudkan platform pendidikan dalam talian kepada pemain muda serta jurulatih untuk mempelajari kemahiran baru dan berkesan, idea serta konsep mengenai hoki, kata Timbalan Presiden KHM, Prof Dr S. Shamala.

"Dalam dunia hari ini, platform digital menjadi sangat popular dan ia terbukti cara berkesan untuk berkongsi maklumat. Pengarah Teknikal KHM Terry Walsh membangunkan platform itu dengan cara lebih mudah bagi rakyat Malaysia untuk memahaminya.

"Laman web ini terbuka kepada semua jurulatih dan peminat hoki," kata pensyarah Jabatan Teknologi Komunikasi dan Rangkaian Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, semasa pra pelancaran laman web kejurulatihan 1Mas, di sini, hari ini.

Shamala berkata kata laluan laman web itu akan diedarkan kepada semua pemain peringkat akar umbi dan jurulatih serta ibu bapa daripada pusat pembangunan 1Mas, dan pemain peringkat sekolah di seluruh negara, dalam tempoh terdekat melalu pusat-pusat itu, bagi mengelak kata laluan itu tersebar ke luar negara.

Menjelaskan lanjut mengenai laman web itu, Terry berkata ia mengandungi maklumat kemahiran kejurulatihan dan cara bermain, antaranya seperti hantaran, menerima dan mengawal bola serta menjaringkan gol.

"Ia berfungsi untuk sesiapa sahaja yang mahu belajar mengenai permainan hoki tetapi keutamaan diberikan kepada pemain pusat 1Mas. Usaha ini sangat positif kerana ia mengandungi video dengan grafik dan penerangan mengenai permainan itu.

"Ini tidak dibuat untuk menjadi preskriptif, ia alat menyediakan idea kepada jurulatih dan pemain yang ingin tahu mengenai permainan itu. Terdapat visual, jadi apabila pemain mahukan maklumat segera, mereka boleh menggunakan apa yang kita ada dengan cara berkesan," kata bekas pemain kebangsaan Australia itu.

Bagi pengarah program pembangunan KHM, Tai Beng Hai, usaha itu adalah pendekatan terbaik untuk merangsang minat generasi muda, yang lebih berminat untuk menghabiskan masa lapang mereka dengan pelbagai gajet, ke arah sukan hoki.

"Kita perlu mewujudkan saluran untuk membuat kanak-kanak merasai keseronokan dan menarik minat mereka terhadap sukan ini. Dengan e-pembelajaran ini, kanak-kanak kini boleh mengakses melalui dalam talian untuk belajar dan praktik di pusat 1Mas atau semasa latihan di sekolah," kata bekas jurulatih negara itu. - BERNAMA

Berita Harian X