Selasa, 7 Jun 2016 | 12:00am
THE Nice Guys, sebuah filem penyiasatan komedi.

Lakonan mencuit hati Crowe, Gosling

ADEGAN mencuit hati lakonan Crowe (kiri) dan Gosling.

APABILA bintang yang selama ini dilihat sebagai pelakon berkarakter, Russell Crowe dan Ryan Gosling, digandingkan dalam sebuah filem penyiasatan komedi, tentu saja ramai peminat mahupun pengkritik yang menunggu hasil gabungan dua aktor ternama terbabit.

The Nice Guys nampaknya melepasi jangkaan ramai apabila ia muncul sebagai judul yang mendapat ulasan cukup baik.

Bukan sekadar bersandarkan skrip menarik dihasilkan oleh penulis yang juga pengarahnya, Shane Black, bersama-sama Anthony Bagarozzi, yang mampu menggeletek penonton sepanjang tayangan berlangsung, ia bagai mengembalikan lawak era latar 70-an dengan helah dan kekuatan cerita tulisan masa kini.

Lebih penting, gandingan Crowe dan Gosling dilihat cukup menjadi. Lakonan mereka membantu menghidupkan plot yang ada masanya dianggap seperti tidak masuk akal ataupun mustahil.

GOSLING (kiri) sebagai Holland March ialah penyiasat persendirian manakala Crowe pula melakonkan watak Jackson Healy, iaitu lelaki yang mencari makan dengan menjadi kaki pukul.

Kedua-duanya memang serasi di layar, dan ia jelas kelihatan menerusi gelagat atau aksi masing-masing mahupun menerusi penuturan dialog yang mencuit hati. Bahkan, ada ketikanya penonton pasti terfikir sendiri, apakah kekuatan skrip yang menjayakan filem ini ataupun dua bintang hebat berkenaan yang menjadikan suasana tonton cukup menghiburkan sekali.

Penonton takkan kering gusi melihat aksi kedua-dua pelakon lelaki berkenaan yang pada mulanya saling tidak menyukai, tetapi akhirnya bersatu tenaga dalam merungkai kes pembunuhan misteri.

Gosling sebagai Holland March ialah penyiasat persendirian manakala Crowe pula melakonkan watak Jackson Healy, iaitu lelaki yang mencari makan dengan menjadi kaki pukul.

Pertemuan yang bermula dengan salah sangka akhirnya membuatkan kedua-dua lelaki terbabit berganding bahu dalam mencari jawapan kepada kematian wanita yang cuba dilindungi mereka, Amelia Kutner.

Semakin mereka mendalami kes terbabit, semakin jauh kedua-duanya melangkah masuk ke dunia yang penuh dengan penipuan. Pada masa sama, elemen komedi kuat mengiringi perjalanan cerita yang membuatkan khalayak sentiasa terhibur walaupun babak cemas turut memperkuatkan persembahannya.

GOSLING (kiri) sebagai Holland March ialah penyiasat persendirian manakala Crowe pula melakonkan watak Jackson Healy, iaitu lelaki yang mencari makan dengan menjadi kaki pukul.

Berlatarbelakangkan dekad 1970-an, sentuhan pengarah fotografi, Philippe Rousselot turut membuatkan filem The Nice Guys ini cukup meyakinkan. Dengan rekaan set, mainan warna dan kostum yang seharusnya dipuji, ia benar-benar membawa penonton kembali ke zaman itu.

Jika anda masih tercari-cari judul yang ingin ditonton bersama teman, keluarga mahupun kekasih, The Nice Guys tidak syak mampu menghiburkan hati.

INFO: The Nice Guys
Pengarah: Shane Black
Pelakon: Russell Crowe, Ryan Gosling, Angourie Rice, Matt Bomer, Margaret Qualley, Keith David, Yaya DaCosta dan Kim Basinger
Genre: Komedi / Aksi / Penyiasatan
Durasi: 2 jam
Tarikh tayangan: Mulai 26 Mei 2016.

Berita Harian X