Selasa, 7 Jun 2016 | 5:42pm

Mastura bukan calon paksaan - Ahmad Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon BN bagi PRK Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid bukan calon paksaan, seperti didakwa pembangkang. - Foto Asyraf Hamzah
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon BN bagi PRK Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid bukan calon paksaan, seperti didakwa pembangkang. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA KANGSAR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid bukan calon paksaan, seperti didakwa pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sendiri menemui Mastura dan anak-anaknya serta mereka bersetuju dengan pencalonan berkenaan.

"Ini 'reverse psikologi' (psikologi songsang) pembangkang untuk mengelirukan rakyat. BN mencalonkan Mastura bagi meneruskan legasi suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad atas persetujuannya sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ramah mesra bersama pengundi dan masyarakat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ulu Kenas, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mendakwa Mastura dipaksa UMNO menjadi calon BN bagi PRK Kuala Kangsar.

Dalam Pada itu, Ahmad Zahid yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO berkata, beliau teruja kerana tiada masalah dalaman besar dalam jentera BN bagi menghadapi PRK Kuala Kangsar.

Ini kerana, katanya, mereka yang sebelum ini dilaporkan kecil hati tidak dicalonkan dapat memadamkan kekecewaan itu.

"Inilah jiwa besar pemimpin UMNO yang saya percaya membantu BN mencapai kemenangan besar dan mandat selesa daripada rakyat," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X