Rabu, 8 Jun 2016 | 9:49am

Clinton dahului Trump dengan 10 mata

DONALD Trump (kiri) dan Hillary Clinton. - Foto Reuters

WASHINGTON: Calon presiden Demokrat, Hillary Clinton, mendahului pencabarnya dari Republikan, Donald Trump, dengan 10 mata dalam kempen pemilihan 2016, menurut tinjauan yang disiarkan, menunjukkan perubahan kecil daripada minggu lalu.

Keputusan tinjauan juga menunjukkan komen Trump mengenai hakim berketurunan Mexico-Amerika tidak menjejaskan kedudukannya dalam persaingan itu.

Tinjauan terbaru dibuat Reuters/Ipsos dibuat beberapa hari selepas Trump berhadapan kritikan tajam berhubung kenyataan tegasnya bahawa hakim persekutuan yang dilahirkan pendatang Mexico di Indiana bersikap berat sebelah dalam kes membabitkan hartawan itu.

Namun ia tidak banyak membantu Clinton membina jurang lebih besar mengatasi Trump.

Tinjauan online menunjukkan 44.3 peratus pengundi berkata mereka akan mengundi Clinton, berbanding 34.7 peratus yang menyokong Trump.

Seramai 20.9 peratus pengundi lagi tidak akan mengundi mana-mana calon. Keputusan itu dilihat sedikit berubah berbanding tinjauan minggu lalu.

Ia dilakukan sejak Jumaat hingg Selasa, bermula tidak lama selepas kenyataan pertama Trump mengenai Hakim Gonzalo Curiel, yang memantau saman terhadap Universiti Trump, sekolah hartanah yang kini tidak beroperasi lagi milik hartawan itu di New York.

Trump menyifatkan keturunan Curiel mempengaruhi pandangan hakim itu mengenai kes berkenaan kerana kempen retorik Trump mengenai pendatang tanpa izin. - REUTERS

Berita Harian X