Rabu, 8 Jun 2016 | 10:29am

Semakan semula ekonomi Jepun naik pada suku pertama

TOKYO: Ekonomi Jepun berkembang lebih pantas berbanding dijangkakan, demikian mengikut angka yang disemak semula, sekali gus menjejaskan harapan bank pusat negara itu akan memperkenalkan pakej rangsangan baharu bulan ini.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun berkembang 0.5 peratus pada suku pertama atau 1.9 peratus pada kadar tahunan, meningkat daripada bacaan awal 0.4 peratus yang dikeluarkan bulan lalu.

Ekonomi ketiga terbesar dunia itu menguncup pada suku keempat 2015.

Yen mengukuh berikutan angka berkenaan, yang mana akan meredakan jangkaan bahawa Bank of Japan (BoJ) akan menampilkan dasar rangsangan baharu pada mesyuaratnya minggu depan.

Dalam dagangan tukaran asing, dolar Amerika Syarikat (AS) berada pada paras 106.86 yen, jatuh daripada 107.57 yen di dagangan AS.

Perangkaan muktamad itu yang menepati jangkaan pasaran keluar selepas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkata, beliau akan menangguhkan kenaikan cukai jualan yang mengancam pemulihan ekonomi negara itu.

Kenaikan kali terakhir cukai jualan Jepun adalah pada April 2014 yang mana dipersalahkan kerana menyebabkan negara itu mencatatkan kelembapan ekonomi.

Terdapat kebimbangan yang meluas bahawa satu lagi kenaikan akan menjejaskan ekonomi kerana mengurangkan perbelanjaan pengguna. - AFP

Berita Harian X