Rabu, 8 Jun 2016 | 11:28am

Tangani segera pencerobohan hutan Bukit Merah - Wan Junaidi

JURUCAKAP kumpulan NGO berkenaan yang juga Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman menununjukkan rizab Tasik Bukit Merah yang baru diceroboh dan diteroka secara haram. - Foto Yahya Awang

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengarahkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mengambil tindakan susulan berhubung dakwaan pencerobohan tanah di Tasik Bukit Merah, Perak.

Beliau turut berharap kerajaan Perak memberikan perhatian serius dalam isu berkenaan bagi melindungi kawasan tadahan air yang menjadi sumber air kepada rakyat.

Katanya berdasarkan semakan awal, kawasan yang didakwa tanah rizab itu adalah kawasan tanah kerajaan dan bukannya kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).

"Saya dimaklumkan bahawa keseluruhan Hutan Simpan Pondok Tanjung yang berhampiran tanah kerajaan itu akan diwartakan sebagai kawasan tadahan air.

"Satu kertas kerja disediakan dan dikemukakan kepada kerajaan Perak pada 23 Mei 2016. Adalah amat kritikal bagi semua pihak untuk melindungi kawasan tadahan air yang menjadi sumber air dan tindakan kerajaan negeri adalah amat wajar dan bertepatan masanya selaras usaha kerajaan dalam melindungi sumber air," katanya.

Akhbar semalam melaporkan lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap peneroka haram di tanah rizab Tasik Bukit Merah, dekat sini, yang didakwa semakin membimbangkan.

NGO terbabit ialah Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dan Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS).

Jurucakap kumpulan NGO berkenaan yang juga Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata pencerobohan dan penerokaan haram di kawasan itu dikesan sejak 15 tahun lalu.

Sehingga kini dipercayai kira-kira 2,000 daripada 3,000 hektar tanah rizab diteroka dan diceroboh dengan tanaman kelapa sawit, limau dan tanaman kontan.

Berita Harian X