Rabu, 8 Jun 2016 | 1:01pm

Remaja 'kandung' kembar tak sabar nak sekolah

PEGAWAI Jabatan Kebajikan Masyarakat Baling, Shamsul Izrin Isahak (kanan) melawat Mohd Zul Shahril Saidin (tiga dari kiri) di rumahnya di Kampung Charok Kangar, Kupang, semalam. - Foto Safuri Kamaruddin

BALING: Remaja lelaki berusia 15 tahun yang menggendong kembarnya di dalam perut yang menjadi 'viral' di laman sosial sebelum ini, gembira keadaan tubuhnya kembali normal selepas pembedahan.

Malah, Mohd Zul Shahril Saidin, dari Kampung Charok Kangar, dekat Kupang, di sini, tidak malu lagi berdepan rakan sekolah yang sebelum ini mengejeknya kerana perutnya membesar seperti orang mengandung.

Dia yang ditemui mengaku gembira dan tidak rasa kekok lagi untuk meneruskan persekolahan selepas sekian lama ketinggalan kerana sering diejek oleh rakan sebaya.

"Saya tidak sabar ke sekolah bagi meneruskan pengajian selepas sekian lama terhenti akibat rasa malu kerana setiap hari diejek rakan.

"Saya rasa kembali normal seperti remaja lain dan bersyukur Allah memberi hidayah dalam kehidupan selepas sekian lama menderita menggendong janin kembar di dalam perut," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak.

Mohd Zul Shahril berkata, dia berpuasa seperti biasa tahun ini dan akan menyambut Aidilfitri lebih bermakna berbanding sebelumnya.

"Kalau dulu saya sering rasa sakit dan muntah-muntah selepas makan, keadaan sekarang sudah pulih dan saya dapat berpuasa dengan baik," katanya.

Sementara itu, Shamsul Izrin, berkata JKM menyalurkan bantuan bulanan berjumlah RM300 sebulan bagi membolehkan remaja itu berbelanja untuk persekolahan berikutan keluarganya hanya bekerja kampung dan terpaksa menyara ahli keluarga yang lain.

"Kita harap dia (Mohd Zul Shahril) menggunakan wang bantuan dengan berhemah untuk keperluan diri dan persekolahan. Dia boleh meneruskan persekolahan semula kerana kesihatannya bertambah baik dan mengejar impiannya demi masa depan," katanya.

Berita Harian X