Rabu, 8 Jun 2016 | 5:18pm

Sedia lakon semula watak Izzah jika Aaron kekal - Maya Karin


PELAKON, Maya Karin. - Foto Azhar Ahmad

KUALA LUMPUR: Pelakon, Maya Karin, bersedia membawakan semula watak Izzah dalam filem susulan Ombak Rindu sekiranya bintang utama asalnya dikekalkan.

Beliau yang turut dikenali sebagai penyanyi berkata, lebih penting, skrip filem terbabit perlulah menarik dan mantap.

Artis cantik ini berkata demikian ketika mengulas kenyataan pengarah Osman Ali, baru-baru ini, yang teringin menghasilkan kisah sambungan kepada filem yang menemui khalayak pada 2011.

Ketika ditayangkan hampir lima tahun lalu, Ombak Rindu yang diangkat daripada novel berjudul sama dan dilakonkan Maya, Aaron Aziz, Lisa Surihani serta Bront Palarae berjaya mendapat sambutan hangat dengan kutipan melebihi RM10 juta.

"Soal sama ada saya akan menerima tawaran itu atau tidak bergantung kepada bagaimana Abang Osman mencantumkan cerita seterusnya, andai dua novel susulannya disatukan. Bagi menghasilkan karya untuk filem berdurasi 90 minit daripada dua novel, memang tidak semua bahagian dapat dimuatkan.

"Filem sekuel ini pastinya takkan menjadi seperti novelnya. Sudah tentu jalan ceritanya akan diubah suai. Begitu juga jika pengarah memilih novel kedua untuk lanjutan filem ini. Ada banyak perkara perlu dititikberatkan kerana hak karakter milik penulisnya dan ia tidak boleh diolah sesuka hati.

"Paling utama, saya juga akan menimbang sebarang lamaran berlakon filem itu dengan melihat kepada skrip yang mantap, selain pengekalan pelakon sama, terutama bagi watak Hariz (lakonan Aaron). Maknanya, watak Izzah dan Hariz itu harus dijayakan pelakon asal," katanya.

Pelakon yang mempunyai lebih 15 tahun pengalaman di depan kamera itu turut berpendapat, sesetengah filem tidak wajar disambung kisahnya.

"Ada sesetengah filem yang mencipta fenomena dan melekat di hati kita sampai sekarang, seperti Pretty Woman. Jika susulan filem itu dihasilkan, contohnya, saya yakin magisnya akan hilang. Ia perkara yang sangat subjektif.

"Saya juga pernah menonton dan mengagumi filem Speed pertama, lakonan Sandra Bullock dan Keanu Reeves. Bagaimanapun, bagi filem keduanya, hanya Bullock dikekalkan. Ia membuatkan saya rasa filem itu tidak lagi menarik," katanya sambil memberitahu, jika sesebuah filem susulan menukar bintang asalnya, ia sedikit sebanyak mengurangkan keterujaan peminat untuk ke pawagam.

Berita Harian X