Rabu, 8 Jun 2016 | 5:53pm

Affin Hwang kekal saranan 'neutral' bagi industri pengangkutan, logistik

KUALA LUMPUR: Affin Hwang Capital mengekalkan saranan 'neutral' bagi industri pengangkutan dan logistik, memandangkan aliran meningkat harga minyak.

Affin Hwang dalam satu kenyataan hari ini berkata pendapatan syarikat penerbangan yang kukuh dalam suku pertama 2016 dijangka kekal dalam suku-suku berbaki 2016 kerana hingga 75 peratus daripada keperluan bahan api telahpun dilindung nilai.

"Bagaimanapun, memandangkan aliran meningkat (walaupun perlahan) harga minyak, mengekalkan momentum pendapatan kukuh itu memasuki 2017 mungkin agak mencabar," kata firma penyelidikan itu.

Affin Hwang berkata, ia menurunkan gred AirAsia kepada 'pegang' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.56, mempercayai prospek positif dicerminkan dalam harga sahamnya dan memilih AirAsia X bagi pendedahan sektornya.

Ia mengekalkan saranan 'beli' bagi AirAsia X dengan harga sasaran 47 sen.

Pada 3.02 pagi, AirAsia naik lapan sen kepada RM2.68 dengan 26.73 juta saham diniagakan manakala AirAsia X turun setengah sen kepada 39 sen dengan 14.39 juta saham bertukar tangan. - BERNAMA

Berita Harian X