Khamis, 9 Jun 2016 | 1:39pm

2 lelaki ditahan, 300kg daun ketum dirampas


KETUA Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof (tiga dari kiri) bersama pegawai pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 300kg daun ketum yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau. - Foto Eizairi Shamsudin

ARAU: Polis daerah ini merampas 300 kilogram (kg) daun ketum yang ditemui disembunyikan di dalam sebuah kereta di Jalan Ngulang, dekat sini, pagi semalam dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Selain rampasan stok ketum yang diisi dalam bungkusan lutsinar itu, polis turut menahan dua lelaki berusia 25 dan 32 tahun yang berada di dalam kereta jenis Nissan Cefiro itu untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, berkata dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, polis melakukan rondaan rutin di sekitar Jejawi dan terserempak kenderaan dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Pihak kami mengekori kenderaan terbabit kira-kira dua kilometer sebelum ia ditahan untuk pemeriksaan dan sebaik pintu kereta dibuka, kami menemui bungkusan plastik lutsinar berisi daun ketum memenuhi setiap ruang kenderaan terbabit.

"Pemeriksaan lanjut turut menemui bungkusan berisi daun ketum di dalam bonet kereta berkenaan.

"Harga daun ketum berubah-berubah dan nilai rampasan keseluruhan daun ketum dalam kes ini dianggarkan RM6,000 berdasarkan nilai pasaran," katanya.

Nanda berkata, daun ketum berkenaan dipercayai dijual bagi pasaran Thailand, namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti dari mana daun ketum itu diperoleh dan kepada siapa ia akan dijual.

"Siasatan turut mendapati suspek berusia 32 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan penyeludupan daun ketum dan kedua-dua mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

29 dibaca
Berita Harian X