Khamis, 9 Jun 2016 | 5:20pm

Koroner putuskan Wan Ahmad Faris mati dibunuh


KELUARGA mangsa bersama peguam, Alias Ibrahim berbincang di luar mahkamah. - Foto NSTP

KOTA BHARU: Mahkamah Koroner di sini, hari ini memutuskan kematian Wan Ahmad Faris Wan Yaakob, 16, pada Disember 2014 adalah dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.

Koroner, Adli Abd Ghalib membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 11 saksi termasuk keluarga, rakan mangsa, polis, dan pihak sekolah.

Adli ketika membuat keputusan itu berkata, selepas mempertimbangkan beberapa faktor, terdapat kebarangkalian unsur lain atau individu yang menyebabkan kematian mangsa.

"Berdasarkan keterangan, tidak menunjukkan si mati mengambil sendiri nyawanya, sebaliknya kematian si mati disebabkan seseorang yang identitinya belum dikenal pasti," katanya.

Prosiding inkues dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan dan keluarga mangsa diwakili peguam, Alias Ibrahim.

Pada 14 Disember 2014, mayat Wan Ahmad Faris, iaitu pelajar Tingkatan Empat Sekolah Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas ditemui tergantung dalam keadaan separuh bogel.

Mayatnya ditemui oleh penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas asrama itu.

Hasil bedah siasat ke atas mayat itu yang dijalankan oleh pakar forensik mengklasifikasikan kejadian sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Sementara itu, ibu mangsa, Rohani Hussin, 62, ketika ditemui di luar mahkamah ternyata gagal menahan perasaan apabila menangis kegembiraan kerana penantian mereka sekeluarga selama lebih dua tahun akhirnya terjawab.

"Itu doa saya selama ini...Anak sulung saya seorang yang baik dan arwah tidak sesekali akan membunuh diri seperti yang dimaklumkan polis.

"Keputusan mahkamah hari ini juga mengembalikan maruah keluarga saya apabila masyarakat sebelum ini seperti mencemuh mengatakan arwah membunuh diri," katanya.

Berita Harian X