Jumaat, 10 Jun 2016 | 9:22am

Obama nyatakan sokongan terhadap Hillary

PRESIDEN Amerika Syarikat, Barack Obama (kiri) menyatakan sokongan kepada bekas seterunya, Hillary Clinton (kanan). - Foto EPA

WASHINGTON: Barack Obama menyatakan sokongan kepada bekas seterunya, Hillary Clinton, untuk menggantikannya, sekali gus memberi petunjuk kepada ahli Demokrat bahawa tiba masanya bersatu bagi mengalahkan calon Republikan, Donald Trump.

"Puluhan juta rakyat Amerika sudah bersuara. Hari ini saya pula mahu bersuara. Saya bersama-samanya," kata Presiden Amerika Syarikat (AS) itu dalam video.

Acara kempen bersama pertama mereka akan diadakan di Green Bay, Wisconsin pada 15 Jun ini.

Obama menang pada pilihan raya 2008 dan 2012, tetapi Demokrat menjangkakan persaingan sengit tahun ini.

Sokongan Obama, walaupun sudah lama dijangka, memberi suntikan positif bagi kempen Clinton.

Clinton bergelut selama setahun menentang pencabarnya, Bernie Sanders. Tokoh berusia 74 tahun itu melancarkan kempen akar umbi yang berkembang mendapat sokongan 12 juta penduduk.

Clinton secara rasmi meraih pencalonan beberapa hari lalu, mendorong Obama menunjukkan sokongannya.

"Saya tidak rasa ada orang lain lebih layak untuk jawatan itu," kata Obama.

Clinton mengalu-alukan undian keyakinan: "Gembira kerana anda bersama saya, @ POTUS saya bersemangat dan bersedia!" katanya dalam akaun Twitter, mengulangi antara laungan kempen Obama pada 2008. - AFP

Berita Harian X