Jumaat, 10 Jun 2016 | 7:06pm

Kerajaan kaji serah operasi bayaran pencen kepada KWAP

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan menyerahkan pengurusan operasi bayaran pencen kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) sebagai sebahagian daripada pelan untuk terus mengurangkan hutangnya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah, berkata perbincangan mengenai perkara itu telah mencapai peringkat akhir.

"KWAP adalah entiti yang akan membuat pembayaran pencen dalam jangka masa panjang, dan ini satu lagi perkara (selain pinjaman perumahan) yang kami sedang lihat dari segi saiz perkhidmatan awam.

"Kami boleh memindahkan keseluruhan jabatan pencen kepada KWAP tetapi dari segi bayaran pencen, ia masih menjadi peruntukan kerajaan sehingga KWAP dapat mengambil alih apabila tiba masanya," katanya selepas pelancaran program sukuk/bon RM25 bilion Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) di sini, hari ini.

Beliau berkata langkah itu akan membantu kerajaan dalam pengurusan hutangnya dalam jangka masa panjang.

Pada awal tahun ini, kerajaan telah memindahkan fungsi utama Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) sebagai agensi tunggal kerajaan yang menyediakan kemudahan pinjaman perumahan kepada penjawat awam kepada LPPSA yang baru ditubuhkan sebagai langkah untuk mengurangkan hutang awam kepada nisbah KDNK. - BERNAMA

24 dibaca
Berita Harian X