Sabtu, 11 Jun 2016 | 5:48pm

Ops Ramadan cekup 19 pesalah


RAHIMIN (tengah) menegur seorang lelaki yang tidak berpuasa ketika anggota JAIM menjalankan Ops Ramadan di Jalan Tun Ali, Melaka. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Operasi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sejak awal Ramadan hingga hari ini menahan 19 individu yang didapati tidak berpuasa di seluruh negeri ini.

Terbaru dalam operasi yang dijalankan di sebuah restoran di Bukit Beruang di sini, antara jam 11.15 pagi hingga 12 tengah hari tadi, jabatan berkenaan mengeluarkan notis saman kepada tiga individu yang didapati menjual dan membeli makanan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani, berkata ketiga-tiga lelaki berusia 30-an itu diberikan notis hadir ke pejabat JAIM untuk diambil keterangan.

"Jika sabit kesalahan, mereka yang tidak berpuasa boleh dikenakan denda RM1,000 atau enam bulan penjara bagi kesalahan pertama, manakala denda RM2,000 atau setahun penjara bagi kesalahan kedua atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, hukuman dan denda itu adalah mengikut peruntukan Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka.

Sementara itu, Rahimin berkata, dalam operasi disertai 16 anggota pihak berkuasa itu, sebanyak 42 premis makanan diperiksa termasuk yang diuruskan pemilik bukan Islam kerana didapati menjadi tumpuan umat Islam yang tidak berpuasa.

"Pemeriksaan dilakukan di sekitar kawasan Ayer Keroh, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Taman Tasik Utama, Batu Berendam, Bukit Beruang, Melaka Baru, Sungai Putat dan Taman Bunga Raya," katanya.

Berita Harian X