Ahad, 12 Jun 2016 | 4:09pm

DXB ditutup sejam akibat dron

Kehadiran dron mengganggu trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai selama lebih sejam.

DUBAI: Kehadiran dron mengganggu trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai selama lebih sejam, menurut pengendali hab penerbangan antara yang paling sibuk di dunia itu.

"Ruang udara DXB ditutup disebabkan aktiviti dron selama 69 minit menyebabkan beberapa penerbangan dilencongkan.

"Ruang udara dibuka semula pada 12.45 tengah hari," menurut Lapangan Terbang Dubai dalam kenyataannya di Twitter, menggunakan kodnya.

Berikutan itu, beberapa penerbangan ditangguhkan selama empat jam dan empat lagi terpaksa dilencongkan, lapor akhbar 7Days.

Ia adalah kejadian kedua seumpama itu dalam masa 18 bulan, menurut laporan media di Emiriah Arab Bersatu itu.

Penggunaan dron dilarang dalam lingkungan sempadan lapangan terbang dengan pesalah berhadapan denda berat. - AFP

Berita Harian X