Ahad, 12 Jun 2016 | 5:46pm

Pemandu maut kereta bertembung lori

MARANG: Seorang lelaki berusia 42 tahun maut apabila kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 3 Jalan Bukit Payong-Rawai di Kawasan Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payong, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Zul @ Zunaidi Harun yang memandu kereta Perodua Kancil dari arah Bukit Payong cuba memotong sebuah motosikal dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh lori berkenaan.

Akibat pertembungan itu, mangsa yang beralamat di Lorong Kemunting, Pasir Panjang, Kuala Terengganu tersepit di dalam kenderaannya yang remuk teruk dan meninggal dunia di tempat kejadian sebaik berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Sementara itu, pemandu lori berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, lokasi kejadian ialah jalan lurus dua hala dengan permukaan jalan kering dan cuaca panas.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu atau cuai sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X