Isnin, 13 Jun 2016 | 12:07am
IZZUE berkata, setiap individu ada keunikan tersendiri yang membezakan mereka antara satu sama lain. - Foto Muhammad Sulaiman
KUMPULAN Forteen pada majlis sambutan hari jadi Izzue Islam (tengah) dan Lufias (dua dari kanan). Turut bersama Zulin Aziz (dua dari kiri) dan isteri Izzue, Nurinafilah (tiga dari kiri) di Petaling Jaya. - Foto Muhammad Sulaiman
KUMPULAN Forteen meraikan majlis hari jadi Izzue Islam dan Ariz di Petaling Jaya. - Foto Muhammad Sulaiman

Izzue Islam kepingin mahu jadi bapa

KUALA LUMPUR: Mendirikan rumah tangga sejak tiga tahun lalu, pelakon Izzue Islam dan isteri, Nurinafilah Waharudin masih belum dikurniakan cahaya mata.

Lumrah pasangan berkahwin yang belum dikurniakan anak, soal zuriat sering menjadi topik persoalan dalam kalangan keluarga, teman rapat dan sanak-saudara. Apatah lagi golongan selebriti yang sentiasa menjadi perhatian ramai.

Namun, enggan tertekan dengan soalan 'panas' itu, Izzue yang meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-26, tahun ini, berdoa dikurniakan cahaya mata bagi melengkapkan mahligai yang dibina sejak 2 Jun 2013.

Sering dihujani persoalan mengenai anak, Izzue turut didakwa enggan memiliki anak kerana faktor usianya yang masih muda.

Menafikan perkara itu kepada BH PLUS, Izzue memberitahu, beliau sudah bersedia menjadi bapa sebaik menikahi Nurinafilah atau lebih mesra disapa Awin, 34.

IZZUE Islam dan isteri, Nurinafilah Waharudin.

"Mana mungkin saya belum bersedia untuk menjadi bapa kerana masih muda.

"Saya sudah sedia menimang cahaya mata ketika membuat keputusan berkahwin. Cuma apa yang boleh saya katakan, rezeki belum berpihak kepada kami.

"Saya tidak tertekan sering diajukan soalan mengenai anak. Lumrah manusia, jika belum berkahwin akan diajukan soalan kahwin. Sekiranya sudah berkahwin ditanya pula bila hendak menimang cahaya mata. Saya menganggap ia sebagai doa orang ramai buat saya," katanya.

Mencapai usia lebih matang, Izzue berdoa dikurniakan zuriat secepat mungkin.

"Semoga Allah dapat memakbulkan permintaan sempena ulang tahun kelahiran saya tahun ini. Saya pasti Allah merancang yang terbaik buat kami berdua," katanya.

Bintang filem Kami Histeria itu ditemui pada majlis sambutan hari jadinya bersama ahli kumpulan Forteen, Ariz Lufias Subang, Petaling Jaya, minggu lalu.

Antara artis yang hadir adalah Zulin Aziz, Sherry Alhadad dan Nad Zainal.

KUMPULAN Forteen, (dari kiri) Amir, Izzue Islam, One dan Ariz. - Foto Muhammad Sulaiman

Percaya kepada rezeki

Dalam perkembangan terbaharu, jejaka kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu menganggap kehadiran pelakon lain menyemarakkan persada seni tempatan.

Izzue berkata, beliau melihat kemunculan bakat baharu sebagai suatu persaingan sihat bagi memberi produk terbaik.

"Saya tidak melihat kehadiran mereka menggugat kedudukan saya dalam industri. Ini kerana setiap individu ada rezeki masing-masing. Kemunculan hero baharu memberi variasi sekali gus menyemarakkan lagi industri seni tempatan.

"Secara tidak langsung, pelakon sedia ada mencuba sebaik mungkin bagi memberi yang terbaik agar kekal relevan. Penerbit dan pengarah juga mempunyai lebih banyak pilihan untuk menampilkan wajah baharu dalam menjayakan karya mereka," katanya.

Izzue berkata, setiap individu ada keunikan tersendiri yang membezakan mereka antara satu sama lain.

"Saya bersyukur peminat masih dapat menerima wajah dan bakat saya menghiasi kaca televisyen (TV)," katanya.

Izzue sedang sibuk menjalani penggambaran Dia Semanis Honey Raya dan Siapa Diriku yang bakal disiarkan pada Aidilfitri kelak.

Selain itu, filem lakonannya berjudul Aliff Dalam 7 Dimensi, bakal ditayangkan, tidak lama lagi.

Berita Harian X