Sabtu, 8 November 2014 | 10:28am

Bekas KM Sarawak, Tun Abdul Rahman dimasukkan ke hospital

PETRA JAYA: Bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Ya'kub, 86, dimasukkan ke Pusat Pakar Normah, di sini sejak Isnin lalu berikutan masalah kesihatan.

Sumber rapat keluarga beliau memaklumkan tahap kesihatan tokoh politik veteran Sarawak itu merosot sejak seminggu lalu disebabkan sakit tua.

"Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Pakar Normah kerana terlalu uzur disebabkan faktor usia.

"Malah, beliau terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan hilang selera makan sejak dimasukkan ke hospital," katanya.

Rahman dilantik sebagai Ketua Menteri menggantikan Datuk Tawi Sli pada 7 Julai 1970 sebelum meletakkan jawatan pada 26 Mac 1981 bagi memberi laluan kepada anak saudaranya, Tun Abdul Taib Mahmud (kini Yang Di-Pertua Negeri Sarawak).

Beliau kemudian dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Ke-3 dari 2 April 1981 dan memegang jawatan itu bagi tempoh empat tahun.

Di peringkat Persekutuan, Rahman pernah menganggotai Kabinet Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dengan memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Perlombongan pada 1960.

Malah, beliau juga salah seorang individu berperanan penting di sebalik penubuhan agensi petroleum negara, Petronas.

Ketika memegang jawatan Menteri Pelajaran, Rahman dikenali melalui 'Laporan Rahman' yang membawa banyak transformasi terhadap bidang pendidikan negara.

Berita Harian X