Isnin, 13 Jun 2016 | 11:24am

MPN perangi peniaga pengotor

Oleh Ifwan Tun Tuah

ifwan@bh.com.my

BANDAR BARU NILAI: Majlis Perbandaran Nilai (MPN) memperbanyakkan pemeriksaan kebersihan di premis jualan makanan termasuk restoran dan medan selera di kawasan itu bermula bulan ini.

Yang Dipertua MPN, Datuk Abdul Halim Abdul Latif, berkata pihaknya memberi gred A, B, C atau D, kepada premis terbabit sebagai panduan kepada pelanggan mengenai tahap kebersihan premis berkenaan.

"Jika premis terbabit mendapat gred D, kita tidak berkompromi dan mengeluarkan arahan tutup sehingga pemiliknya dapat membersihkannya mengikut piawaian ditetapkan MPN serta Jabatan Kesihatan negeri.

"Pemilik premis diberi amaran meningkatkan kebersihan jika mendapat gred C dan tiada tindakan dikenakan kepada mereka yang menerima gred B kecuali nasihat supaya berusaha mendapatkan gred A," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Abdul Halim berkata, pemilik yang mendapat gred A akan diberi sijil yang boleh dipamerkan, sekali gus meningkatkan kepercayaan pelanggan dan menjadi tarikan kepada orang ramai mengunjungi premis itu.

Katanya, isu kebersihan premis makanan menjadi keutamaan pihaknya kerana banyak masalah kesihatan terutama keracunan makanan, boleh berlaku disebabkan kecuaian pengendali membiarkan tempat mereka kotor.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu hanya bertindak selepas mendapat aduan atau apabila sesuatu masalah berlaku, sebaliknya bertindak proaktif memperbanyakkan pemeriksaan dan mengambil tindakan berkesan.

"Sebanyak 32 premis makanan kotor di kawasan itu diarah tutup sepanjang tahun lalu kerana kotor, sekali gus melanggar syarat mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Sepanjang tahun lalu juga, 333 premis makanan diperiksa dengan 70 daripadanya mendapat Gred A, 113 premis (Gred B), 121 premis (Gred C) dan 29 premis mendapat Gred D," katanya.

18 dibaca
Berita Harian X