Selasa, 14 Jun 2016 | 12:10am
THE Chor's Busker membuat persembahan atas jemputan Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC).

Abot, menyanyi dari pentas ke jalanan


KUALA LUMPUR: Mencipta sejarah sebagai penyanyi pertama di Malaysia yang merakamkan album berkonsep alternatif pada era kegemilangan genre muzik itu pada pertengahan 1990-an, Abot, kini bergelar penyanyi jalanan.

Sejak lima bulan lalu, Abot atau nama sebenarnya, Narimah Mohamad, 40, tidak kisah menghiburkan orang ramai di tepi jalan asalkan mampu mengekspresikan seni dengan cara sendiri biarpun jauh daripada dunia glamor.

Abot yang menghasilkan album berjudul Alternatif Buat Orang Timur pada tahun 1996, boleh dilihat beraksi di beberapa pusat tumpuan ramai seperti kawasan buskers di lobi pusat beli-belah Avenue K, berhampiran stesen LRT Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Fahrenheit di Bukit Bintang.

Abot menyanyi bersama kumpulan pemuzik jalanannya, The Chor's Busker. Band itu turut disertai suaminya, Jac yang juga pemuzik kumpulan rock FTG. Mereka membuat persembahan atas jemputan Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC).

Mendekati Abot, penyanyi itu memberitahu BH Plus faktor yang mendorong dirinya mencari rezeki sebagai penyanyi jalanan sedangkan suatu ketika dulu, dia diulit glamor sebagai artis rakaman.

"Sebenarnya, dunia penghibur jalanan ini sudah lama saya hendak cuba. Ia suatu cabang baharu buat saya.

"Bayangkan realiti dunia penghibur jalanan. Menyanyi dua jam tanpa henti untuk menghiburkan pengunjung dan menarik minat mereka untuk terpaku di depan kita, ia bukanlah perkara mudah.

ABOT atau nama sebenarnya, Narimah Mohamad.

"Namun, saya amat seronok melakukannya," katanya yang pernah popular dengan lagu Camar dan Kasih Mu.

Abot berkata, daripada duduk di rumah tanpa melakukan aktiviti, dengan menjadi penghibur jalanan dia dapat menyemarakkan bakat seni yang ada.

"Daripada 'berkarat' duduk di rumah, lebih baik saya keluar ekspresikan apa yang ada. Insya-Allah sepanjang bulan puasa, saya masih menjadi penghibur jalan. Ada jadual membuat persembahan pada sebelah siang dan selepas solat tarawih.

"Saya memulakan karier pada usia 20 tahun dan kini saya sudah berumur 40 tahun. Selagi boleh menghibur, saya akan melakukannya," katanya.

Abot berkata, soal glamor tidak pernah difikirkan sejak menjadi artis kira-kira 20 tahun lalu.

"Saya tak fikir nak cari glamor atau apa saja berkaitan dengannya. Ini kerana matlamat saya mahu mencari rezeki dalam seni," katanya yang mempunyai dua anak perempuan iaitu Siti Khadijah, 15, dan Siti Hajar, 8, hasil perkahwinannya dengan Jac sejak tahun 1999.

ABOT bersama suaminya, Jac.

Tak pernah menghilang

Sekalipun wajah atau ceritanya jarang disiarkan akhbar atau majalah tempatan, Abot memberitahu, dia masih aktif dengan cara tersendiri.

"Sebenarnya, persoalan aktif atau tidak itu bergantung pada situasi. Memang tak ada istilah menyepi. Kalau ada orang yang jemput kita buat persembahan, insya-Allah pasti sentiasa aktif.

"Seperti sekarang, saya lebih aktif sebagai penghibur jalanan," katanya.

Abot memberitahu, jalur seni terbuka luas dan terpulang kepada artis atau karyawan untuk memasarkan bakat mereka.

"Mungkin ada yang tahu perangai saya lebih gemar melakukan perkara di luar kotak.

"Tak dinafikan kebanyakan peminat atau yang mengikuti perkembangan saya di laman sosial akan mengajukan soalan apakah saya tidak aktif lagi.

"Soalan itu sangat subjektif. Kita tahu industri seni ini makin mengecil. Banyak persaingan dan ramai artis baru yang hadir dengan idea serta konsep baharu," katanya.

THE Chor's Busker.

Menjelaskan maksud itu, Abot berkata, situasi sekarang cukup berbeza.

"Dulu artis bergantung dengan syarikat rakaman. Jika syarikat rakaman sedia melabur, maka potensi artis itu naik amat tinggi.

"Tapi situasi sekarang berbeza. Lihat saja bagaimana artis contohnya, boleh buat duit dengan berniaga melalui laman sosial seperti Instagram. Saya dan suami kini sekarang bergerak sendiri, jadi semakin bebas untuk kami mengekspresikan seni," katanya.

Sebelum ini, Abot pernah menghasilkan novel remaja dan menyertai acara puisi dan teater ilmiah. Abot yang pernah berduet dengan Fynn Jamal menerusi lagu Selamat Hari Mati, melanjutkan pengajian dalam jurusan Diploma Penyiaran dan Filem di sebuah kolej dalam kesibukannya itu.

Berita Harian X