Selasa, 14 Jun 2016 | 11:29pm

ACYEF peluang teroka pelaburan di China

PERDANA Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak bersama Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (kiri) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah (kanan) semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA:  Seramai 300 usahawan dari sembilan negara ASEAN dan 100 usahawan China akan menyertai Forum Usahawan Muda ASEAN-China Kelapan (ACYEF) 2016 Kuala Lumpur pada 12 hingga 14 Ogos ini di Cyberjaya.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, ketika berucap pada majlis pra pelancaran ACYEF KL 2016 sebentar tadi, berkata forum itu memberi peluang dan pendedahan kepada usahawan muda untuk bertukar pandangan  dan menimba ilmu berkaitan bidang perniagaan dengan syarikat swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).

Tambah beliau, forum berkenaan turut membuka  peluang kepada usahawan  muda  untuk meneroka  pelaburan  baru bagi pasaran  di bandar-bandar kecil di  China."

Kumpulan usahawan muda ini perlu mengambil peluang  melalui hubungan baik dua hala yang sudah lama diwujudkan di antara Malaysia dan China terutama dalam bidang baharu selain pertanian dan pelancongan," katanya.

Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM), Datuk Muzamir Mustafa.

Forum tahunan yang akan berlangsung empat hari itu turut disertai 100 gerai pameran  mewakili negara ASEAN membabitkan teknologi maklumat, pendidikan, pelancongan, pertanian, pemakanan dan hartanah.

ACYE ditubuhkan pada 2008 dianggotai oleh negara Brunei, Cambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam bertujuan membantu usahawan  di rantau ASEAN dan  China untuk bertukar maklumat dan pandangan berkaitan kerjasama ekonomi.

Berita Harian X