Rabu, 15 Jun 2016 | 11:42pm

Minuman amat panas "mungkin" penyebab kanser esofagus

PARIS: Minum kopi amat panas dan minuman lain "kemungkinan" menyebabkan kanser esofagus (saluran makanan), kata agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, namun menafikan kesan negatif minuman kafein itu pada suhu normal.

Bagi sesetengah jenis kanser, ada petunjuk bahawa kopi mungkin memberi manfaat, kata Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC), namun bukan diminum melebihi suhu 65 darjah Celcius.

Agensi itu berkata, satu penyelidikan ke atas lebih 1,000 kajian memutuskan, minum minuman "amat panas" "kemungkinan memberi kesan karsinogenik ke atas manusia."

"Tidak kira apa jenis cecair, yang penting adalah suhu," kata pakar epidemiologi, Dana Loomis, yang mengambil bahagian dalam kajian minuman panas paling popular dunia.

IARC melihat kajian penuh saintifik terbitan sambil mempertimbangkan jika ada hubung kait penyakit kanser dengan minum kopi atau mate, minuman herba dari Amerika Selatan yang popular di Asia Barat.

Kedua-duanya dikelaskan sebagai "potensi penyebab kanser atau kanserogenik kepada manusia" sejak 1991, apabila penilaian akhir dibuat.

IARC berkata, bukti yang dikumpul sejak itu tidak mengaitkan minuman berkenaan dengan meningkatnya risiko kanser, namun hanya jika diminum pada suhu melebihi 65 darjah Celcius.

"Kajian di China, Iran, Turki dan Amerika Selatan di mana teh atau mate diminum secara tradisi amat panas (kira-kira 70 darjah Celcius) mendapati risiko mendapat kanser esofagus meningkat apabila suhu minuman meningkat," kata IARC. -AFP

Berita Harian X