Khamis, 16 Jun 2016 | 11:00am

Zika: Tiada kesan serius jika dijangkiti akhir kehamilan - Kajian


Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), Dr Margaret Honein.. - Foto AP

CHICAGO: Kajian jangkitan Zika di Colombia tidak menemui kecacatan kelahiran jelas dalam kalangan wanita yang dijangkiti ketika hamil peringkat akhir, meningkatkan harapan Zika mungkin tidak menyebabkan kecederaan serius kepada janin apabila ibu dijangkiti pada peringkat akhir kehamilan.

"Ia sesuatu yang meyakinkan kerana nampaknya jangkitan pada peringkat akhir kehamilan tidak memberikan risiko besar," kata ketua cawangan kecacatan kelahiran di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), Dr Margaret Honein.

Sambil menegaskan hasil kajian masih awal, beliau berkata ia amat penting untuk terus mengikuti perkembangan bayi berkenaan bagi melihat kesan lain akibat pendedahan kepada Zika.

Honein berkata, bayi di Colombia perlu diperhatikan untuk mencari kemungkinan kesan lain jangkitan Zika, seperti hilang pendengaran atau masalah penglihatan, atau sebarang masalah perkembangan lain.

Virus Zika bawaan nyamuk ditunjukkan menyerang sel otak janin dan menyebabkan mikrosefali, kecacatan kelahiran mengakibatkan saiz kepala dan otak lebih kecil.

Di Brazil, pihak berkuasa sudah mengesahkan lebih 1,400 kes mikrosefali pada bayi yang ibu mereka terdedah kepada Zika ketika hamil.

Penyelidik memantau rapi isu sama dalam kalangan bayi di Colombia. Virus berkenaan tiba di Colombia pada Oktober 2015, lima bulan selepas penularan di Brazil. - Reuters

47 dibaca
Berita Harian X