Khamis, 16 Jun 2016 | 12:42pm

Kolej kediaman luar USIM dilengkapi WiFi


Universiti Sains Islam Malaysia.

BANDAR BARU NILAI: Seramai 5,238 pelajar yang menginap di kolej kediaman luar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini boleh melayari internet dengan mudah melalui WiFi Kolej Kediaman Luar USIM (IWISH).

Projek bernilai RM1.9 juta itu dilaksanakan oleh Telekom Malaysia (TM) di empat kolej kediaman luar sekitar bandar ini iaitu Kolej Kediaman Desa Jati, Acasia Avenue, Nilam Court dan Sutera Indah serta Kolej Kediaman Pandan Indah di Kuala Lumpur.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad, berkata kolej kediaman luar yang berada di lokasi liputan internet tidak elok menyebabkan USIM sejak tahun 2010 berusaha mencari penyelesaian menyeluruh untuk mewujudkan kemudahan WiFi.

Katanya, USIM memilih TM yang menawarkan penyelesaian menyeluruh, sekali gus membolehkan pelajar menikmati capaian WiFi berkelajuan tinggi di kolej kediaman masing-masing.

"Penyelesaian menyeluruh ini bukan saja membabitkan liputan internet ke kolej kediaman, malah aspek keselamatan siber yang dipantau sepenuhnya oleh Pusat Operasi Rangkaian (NOC) TM yang beroperasi sepanjang masa," katanya selepas melancarkan IWISH.

Pada majlis itu, USIM dan TM turut memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) untuk projek IWISH selama tiga tahun mulai tahun ini.

USIM diwakili oleh Dr Musa dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datuk Dr Hasan Basri Awang Mat Dahan manakala TM diwakili Naib Presiden Jualan Sektor Kerajaan TM, Hamdan Ismail, dan Pengurus Besar TM Negeri Sembilan, Ramlan Omar.

Dr Musa berkata, IWISH membuktikan komitmen USIM untuk menyokong pembelajaran dan pengajaran berteraskan pelajar serta pembelajaran fleksibel.

Beliau turut meminta pelajar memanfaatkan kemudahan itu dengan bijaksana, terutama bagi tujuan pembelajaran dan sejajar usaha mengekang gejala vandalisme, kerjasama warga kolej kediaman luar diperlukan untuk memantau kemudahan itu.

57 dibaca
Berita Harian X