Ahad, 9 November 2014 | 12:13pm
ANTARA aksi aktiviti mat rempit dan lumba haram. - Foto hiasan

IPD Kota Kinabalu keluar 61 saman operasi samseng jalanan

KOTA KINABALU: Sebanyak 61 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi Op Samseng Jalanan dan Cegah Jenayah di sekitar bandaraya ini dari tengah malam tadi hingga pagi ini.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, operasi selama kira-kira sembilan jam bermula 11.30 malam itu khusus untuk membanteras aktiviti mat rempit dan lumba kereta haram.

"Polis turut menahan seorang lelaki berusia 25 tahun kerana melakukan aksi berbahaya dan melawan arus jalan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Sebanyak 13 buah motosikal ditahan di Balai Trafik atas pelbagai kesalahan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Chandra berkata tiga daripada tujuh individu yang diuji di lokasi sekatan jalan raya dikesan positif alkohol dan dibawa balik ke balai Trafik IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, operasi membabitkan seorang pegawai dan 18 anggota polis itu juga memeriksa sebanyak 70 buah kenderaan secara teliti yang melibatkan 77 individu termasuk 22 wanita.

"Operasi akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan orang awam dinasihatkan supaya tidak menjadi penonton atau menyaksikan aktiviti tersebut yang menyalahi undang-undang," katanya.

Berhubung program bersama komuniti di Balai Polis Karamunsing semalam, Chandra berkata semua isu dan permasalahan dibangkitkan orang awam akan diambil tindakan oleh ketua bahagian dan Ketua Polis Balai berkenaan dalam tempoh seminggu.

Beliau berkata antara isu dan masalah itu adalah kehadiran remaja yang mencuri barang di gerai makanan, penagih dadah di taman-taman berhampiran dan permintaan kekerapan rondaan polis.

Katanya program dengan slogan 'Engaging Hearts' itu memberi kesan positif dan melibatkan 33 anggota dan 25 pegawai termasuk Ketua Balai Polis berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X