Jumaat, 17 Jun 2016 | 6:26pm

KSN umum 4 pelantikan pegawai kanan kerajaan


KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, hari ini mengumumkan pelantikan dan pertukaran empat pegawai kanan kerajaan dalam perkhidmatan awam persekutuan.

Semua pelantikan dan pertukaran itu berkuat-kuasa semalam.

Datuk Nadzri Siron, 57, yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Jabatan Perdana Menteri, dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau yang sudah berkhidmat 32 tahun di sektor awam, menggantikan Datuk Seri Ismail Ahmad, yang bersara wajib.

Abdul Rahim Ishak, 53, dilantik sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggantikan Datuk Mohamad Yusoff Ghazali, yang bersara wajib pada 25 Mei lalu.

Beliau yang sudah 24 tahun bekerja di sektor awam, sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Kewangan, Jabatan Perdana Menteri selain pernah menjadi Pengarah, Bahagian Awam, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Mohd Jamalludin Kasbi, 58, dilantik sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menggantikan Datuk Hasnan Hassan yang akan bersara pilihan.

Sebelum ini, beliau memegang jawatan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Datuk Arifin Che Mat, 59, yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ dilantik sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Pengangkutan menggantikan Abd Ghafar Yusof yang bersara pada tarikh sama.

Ali yakin semua pegawai berkenaan akan dapat menerajui jabatan masing-masing dengan kecemerlangan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Berita Harian X