Jumaat, 17 Jun 2016 | 6:34pm

Isu terowong dasar laut, EXCO tutup mulut


EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan Awam Pulau Pinang, Lim Hock Seng. - Foto Zulaikha Zainuzman

GEORGETOWN: Selepas 'tersilap' mengulas berhubung penangguhan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut oleh Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd (Zenith), EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan Awam Pulau Pinang, Lim Hock Seng, enggan mengulas berhubung perkara itu.

Sebaliknya, Hock Seng berkata, beliau menyerahkan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng, untuk memberi kenyataan penuh mengenai projek berkenaan.

"Perlahan (projek kajian) saja.. Tapi saya tidak mahu cakap banyak. Saya serah kepada Guan Eng. Jika Guan Eng sudah kata begitu, maka ikut sajalah," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Beliau yang baru pulang daripada bercuti di luar negara, didakwa 'tersilap' memberi kenyataan apabila mengakui kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut itu ditangguhkan oleh kerajaan negeri.

Kenyataan pengakuan itu disampaikan kepada pemberita menerusi aplikasi WhatsApp.

Kelmarin, Guan Eng menafikan pengumuman penangguhan kajian berkenaan yang diumumkan oleh Pengerusi Zenith, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

166 dibaca
Berita Harian X