Jumaat, 17 Jun 2016 | 10:01pm
KEADAAN bangunan asrama Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh yang hangus dalam kebakaran petang tadi. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadam kebabarana bangunan asrama Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
ORANG ramai melihat kebakaran di bangunan asrama Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh, hari ini.

Bangunan asrama sekolah pondok terbakar


KEBAKARAN di bangunan asrama Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh, hari ini.

KOTA BHARU: Satu blok bangunan dua tingkat yang mengandungi tiga pintu asrama Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh, hangus dalam kebakaran jam 5.50 petang tadi.

Mudir Pengurusan Muslimah madrasah itu, Shuib Omar, berkata ketika kejadian kira-kira 50 pelajar perempuan yang berada dalam satu asrama itu sempat keluar menyelamatkan diri.

Beliau berkata, dia hanya mengetahui kebakaran itu apabila menerima panggilan daripada seorang pelajar kira-kira jam 6 petang.

"Mujur tiada kemalangan jiwa dalam kebakaran ini," katanya ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Saksi kejadian yang juga pelajar madrasah terbabit, Mohd Shukri Yusof, 27, berkata kebakaran berlaku ketika pelajar selesai menunaikan solat Asar di Masjid Terusan Limbat yang berhampiran dengan pondok pengajian itu.

"Sebaik sampai ke pondok kami melihat api sedang marak membakar tiga asrama. Tidak ada apa yang dapat diselamatkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Kota Bharu, Jamil Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan jam 6.10 petang dan tiba kira-kira tujuh minit kemudian.

"Empat jentera dengan 27 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Kota Darulnaim, Kota Bharu dan Tunjong terbabit dalam operasi memadam kebakaran itu.

"Bomba mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak ke bangunan yang berhampiran," katanya sambil menambah jumlah kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan.

Madrasah pengajian agama itu mempunyai 10 blok bangunan asrama dan tempat pengajian untuk kira-kira 1,000 pelajar dari seluruh negeri yang berusia 18 hingga 25 tahun.

286 dibaca
Berita Harian X