Sabtu, 18 Jun 2016 | 12:03am

Alahan bukan gangguan kesihatan biasa

RAMAI mendakwa alah kepada makanan tertentu tetapi sejauh mana anda memahami apakah yang dimaksudkan dengan alahan?

Kesan alahan bukan sekadar menyebabkan kulit merah dan gatal tetapi membabitkan penyakit lain seperti ekzema, asma dan ada sesetengahnya boleh membawa maut.

Alahan adalah tahap sensitif teruk terhadap bahan asing (dikenali sebagai alergen) yang menyebabkan sistem pertahanan tubuh bertindak balas secara melampau bagi melindungi diri anda.

Biasanya, sistem imun hanya akan bertindak balas ke atas bahan yang boleh mengancam kesihatan seperti bakteria daripada menyerang tubuh.

Bagi mereka yang mengalami alahan, sistem imun mereka bekerja terlalu kuat dan bertindak balas walaupun terhadap bahan seperti debunga.

Ketua Unit Imunologi Klinikal, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Intan Hakiman Ismail, berkata tindak balas alahan terbahagi kepada jenis sederhana sehingga yang mengancam nyawa.

Alergen rangsang sistem imun

"Bahan alergen boleh merangsang tindak balas imun sama ada ketika bernafas, tersentuh, makan atau minum termasuk daripada suntikan mahupun ubat," katanya.

Alahan yang biasa dialami penduduk di negara ini iaitu alah kepada makanan seperti susu lembu, telur, soya, ikan tertentu seperti ikan tongkol, makanan laut seperti kerang, ketam dan gandum.

Alahan terhadap makanan boleh menimbulkan gejala seperti kulit menjadi gatal dan bengkak.

"Ramai orang fikir, apabila mengalami gejala ini, mereka hanya perlu ke klinik dan dapatkan rawatan atau dibiarkan saja dengan harapan akan sembuh dengan sendiri," katanya.

Gejala alahan tidak boleh dibiarkan sebaliknya perlu dirawat kerana berkemungkinan seseorang itu berdepan risiko yang boleh membawa maut.

Kanak-kanak berisiko mengalami alahan anafilaksis yang boleh membawa muat di mana reaksi dialami sangat cepat dan lazimnya disebabkan alah terhadap makanan atau ubat tertentu.

Risiko kepada pesakit sistem imun bercelaru

Pesakit perlu membawa suntikan epipen bagi menyelamatkan nyawa mereka daripada reaksi yang membawa maut.

Bagaimanapun, alahan anafilaksis jarang berlaku.

Kanak-kanak yang mengalami sistem imun yang bercelaru sejak kecil berdepan risiko 10 hingga 15 peratus mengalami alahan apabila meningkat dewasa.

Satu alahan yang dialami semasa kecil boleh berkembang menjadi penyakit alahan lain seperti asma dan rhinitis.

Gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok boleh mempengaruhi sistem imun anak dalam kandungan untuk mengalami alahan apabila dilahirkan kelak.

Info

Bagaimana alahan berlaku?

*Sistem imun yang bercelaru sejak dalam kandungan.

Alahan biasa:

*Ruam

*Bengkak

*sakit kepala

*Bersin

*Selsema

*Loya

*Cirit birit

Penyakit berkaitan alahan:

*Ekzema (masalah kulit)

*Demam

*Asma

Punca alahan:

*Makanan

*Bulu haiwan peliharaan

*Debunga

*Bisa gigitan serangga seperti tebuan

*Ubat seperti penisilin dan aspirin

*Tumbuhan tertentu

Gejala anafilaksis:

*Ruam, bengkak muka atau mata

*Mengalami sesak nafas

*Suara semakin serak

*Nafas laju

Risiko anafilaksis:

*Boleh membawa maut sekiranya lewat menerima rawatan.

Rawatan anafilaksis:

*Suntikan adrenalin atau epipen

-Bertindak secara pantas untuk melancarkan aliran darah, menenangkan otot di dalam paru-paru bagi meningkatkan pernafasan dan degupan jantung.

-Menghentikan bengkak pada muka dan bibir.

Fakta:

*Empat daripada lima kanak-kanak berisiko mengalami alahan.

*Kira-kira 50 peratus kanak-kanak mengalami alahan sejak kecil.

*Ibu dan bapa yang mengalami alahan berisiko mewariskan 50 peratus penyakit sama kepada anak.

*10 hingga 15 peratus kanak-kanak berisiko mengalami alahan walaupun ibu bapa tidak mengalaminya.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO):

*300 juta orang menghidapi sekurang-kurangnya satu alahan.

*Asma adalah alahan kronik paling lazim.

*Resdung meningkat daripada lima peratus kepada 45 peratus dan dijangka terus meningkat.

*Peningkatan penyakit berpunca daripada alahan seperti rhinitis dan ekzema sebanyak 29.1 peratus.

*Alah kepada makanan adalah gelombang kedua epidemik alahan.

Kesan alahan:

*Meningkatkan risiko kematian

*Mengurangkan produktiviti dan kualiti hidup.

*Peningkatan kos rawatan.

Berita Harian X